Fastaqim PAS Teluk Intan hujung bulan ini

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

TELUK INTAN: PAS di semua peringkat istiqamah membawa Islam secara syumul  (menyeluruh) kepada masyarakat dengan meletakkan aspek tarbiyah, dakwah dan siasah sebagai asas dalam gerak kerja parti, demikian menurut Yang Di Pertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik ketika sidang media di Markaz PAS Teluk Intan.

Jelas beliau, ketiga-tiga aspek tersebut wajar digerakkan secara kolektif mengikut ‘maratib amal’ bermula daripada pembentukan modal insan yang baik sehinggalah kepada pembentukan sebuah negara yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Katanya, PAS juga menekankan kaedah ‘muwajahah silmiyah’ iaitu kaedah perjuangan secara aman dalam membawa keindahan Islam kepada masyarakat.

"Hal ini dibuktikan oleh PAS melalui konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan oleh kepimpinan tertinggi PAS.

"Melalui BPMS ini juga, perjuangan PAS menjadi lebih inklusif dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan Islam dijadikan asas penyelesaian kepada masalah rakyat.

"Perkara ini bertepatan dengan konsep Islam sebagai sebuah sistem hidup yang menyeluruh dan mencakupi seluruh perihal kehidupan manusia,' ujarnya.

Ismail menyatakan, PAS Kawasan Teluk Intan mengambil inisiatif menganjurkan program FASTAQIM Teluk Intan 2016 pada 30 & 31 Julai 2016 sebagai usaha memperkenalkan PAS sebagai sebuah parti politik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat serta memasyarakatkan PAS khususnya dalam kalangan penduduk di Teluk Intan.

Tambah beliau, sinergi kekuatan yang dibentuk dalam kalangan dewan-dewan di peringkat kawasan merangkumi Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan (DPPKTI), Dewan Muslimat PAS Teluk Intan (DMPTI), Urusan Ulama Teluk Intan dan Dewan Himpunan Penyokong PAS Teluk Intan (DHPPTI) dipadukan dalam menjayakan program yang julung kalinya diadakan itu.

Dia berkata, masyarakat perlu melihat gabungan aspek tarbiyah, dakwah dan siasah sentiasa menjadi teras dalam gerak kerja PAS melalui program-program yang disusun melibatkan semua peringkat bahkan bersama masyarakat bukan Islam.

"Inilah wajah perjuangan PAS yang sebenar yang ingin disampaikan kepada rakyat.

"PAS Kawasan Teluk Intan menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di Teluk Intan tanpa mengira kaum dan fahaman agama untuk sama-sama memeriahkan penganjuran program FASTAQIM Teluk Intan 2016 pada tahun ini," seru beliau untuk menjayakan program Fastaqim Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace