Jais sedia siasat jika wujud aktiviti pemujaan kubur

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat mana-mana pihak melakukan perbuatan khurafat termasuk pemujaan di tanah perkuburan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata orang ramai disaran membuat aduan sekiranya mengetahui kewujudan kegiatan bertentangan dengan ajaran Islam itu, lapor SelangorKini.

“Sudah tentu Jais memandang berat perkara ini. Sekiranya orang ramai mengetahui tentang hal ini, jangan tunggu, cepat adukan kepada Jais untuk siasatan dan tindakan seterusnya,” katanya pada Majlis Penyerahan Rumah Bugis di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu pengumuman yang tersebar dalam aplikasi whatsapp berkenaan keputusan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jalan Kebun untuk mengadakan sembahyang hajat di Masjid An-Naim selepas solat Jumaat hari ini bagi mengelakkan penduduk kampung terbabit daripada sebarang gangguan.

Kejadian yang didakwa sebagai gangguan ‘makhluk halus’ itu kemudiannya turut dikaitkan dengan perbuatan pemujaan di tanah perkuburan.

Bagi memastikan dakwaan yang tersebar itu, SelangorKini telah menghubungi salah satu nombor yang tertera dalam pengumuman itu.

Setiusaha JKKK Kampung Jalan Kebun, Mahmud Maftam memberitahu, siasatan JKKK Kampung Jalan Kebun di perkuburan yang dikatakan berlubang itu sebenarnya dipercayai disebabkan berlaku tanah mendap.

“Kubur itu sebenarnya kubur lama. Jadi kami percaya ‘lubang’ itu sebenarnya akibat tanah mendap yang disebabkan papan liang lahat yang menutup mayat dah terlalu lama patah dan sebab itulah tanahnya jerlus atau mendap ke bawah,” katanya kepada SelangorKini.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kejadian misteri di kampung itu, Mahmud berkata sehingga kini dua penduduk kampung telah menghubungi JKKK memaklumkan pernah mengalami gangguan makhluk halus itu.

Share on Myspace