Gesa masyarakat Malaysia bantah konsert Selena

HARAKAHDAILY | .

MAJLIS Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Makpen) membantah sekeras kerasnya penganjuran konsert kebaratan Salena Gomez The Rivival Tour yang akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 25 Julai nanti.

Makpen juga menggesa Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Datuk Seri Azmin Ali agar dapat membatalkan konsert tersebut yang sejajar serta berdasarkan kepada Garis Panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jakim yang telah diperakukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Feb 2015 bagi menghormati dan menjaga sensitiviti umat Islam serta kesejahteraan masyarakat umum daripada budaya kebaratan yang dibawa oleh konsert tersebut.

Sayugia juga disarankan agar Jabatan Mufti Negeri Selangor dapat memberikan teguran dan nasihat kepada kerajaan negeri agar lebih berhati hati dalam meluluskan serta melaksanakan sesuatu program hiburan yang melampaui batas batas serta norma polisi kerajaan negeri dalam membangunkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan sejahtera berdasarkan acuan negara kita sendiri.

Konsert barat Salena Gomez adalah merupakan manifestasi daripada gaya hiburan melampau barat yang akan mempromosikan budaya lalai serta hiburan yang menghayalkan generasi muda mudi, juga membawa budaya pergaulan bebas lelaki perempuan,budaya bebas minuman keras arak dan sehingga boleh membawa kepada gejala dadah yang menghayalkan serta ganas.

Semua budaya ini sangat bertentangan dengan nilai agama dan budaya negara kita yang lebih sopan dan lemah lembut.

Kenyataan Ean Yong Hian Wah, Exco Kerajaan Selangor kepada Sin Chew Jit Poh pada 20hb Julai yang menyokong konsert tersebut agar tetap dilangsung sangat dikesali dan seolah olah merestui budaya songsang yang bertentangan dengan nilai dan norma polisi membangun masyarakat yang lebih sejahtera di negeri Selangor.

Begitu juga kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon yang menyokong konsert tersebut diadakan dan diberi kawalan keselamatan yang secukupnya agar tidak diganggu agak pelik dan melucukan.

Beliau adalah Timbalan Menteri Pendidikan dan bagaimana mungkin beliau boleh menjadi promoter dan pelindung kepada suatu konsert yang songsang yang bertentangan dengan nilai nilai falasafah pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intektual, spritual dan rohani.

Apakah ini dasar pendidikan negara yang di fahami oleh Senator Chong ?

Sesungguhnya Makpen tidak menentang hiburan malah menyokongnya sekiranya membantu meningkatkan nilai nilai yang baik  dan tetap menghormati hak bukan muslim tetapi mistilah menepati aspirasi negara dan pembenaan budaya bangsa yang sejahtera dan berminda kelas pertama.

Konsert Salena Gomez jelas membawa budaya primitif lagi songsang yang bertentangan dengan adab susila budaya dan agama di negara ini.

Semoga kita dapat mengenal dan mengekalkan budaya bangsa kita yang luhur dan berbudi pekerti mulia ini.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif
MAKPEN – HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace