PPMM gesa mufti bertegas bantah konsert Selena Gomez

HARAKAHDAILY | .

PIHAK PPMM (Professional) membantah dan mengesa pihak berkuasa kerajaan negeri Selangor agar membatalkan segera konsert Salena Gomez dengan serta merta.

Penganjuran  konsert yang seumpama ini telah mengambarkan bahawa pihak yang terlibat masih bergerak kebelakang dalam membina budaya bangsa yang sihat menurut kaca mata Islam.

PPMM tertanya-tanya, budaya bangsa yang bagaimanakah yang ingin kerajaan Selangor  serapkan untuk menjadi nilai budaya kepada masyarakat Malaysia.  

Kelulusan  yang diberi ke atas konsert seumpama ini, secara tidak langsung  kerajaan Selangor telah memberi "endorsement" kepada corak budaya yang dibawa bersamanya  untuk dipertontonkan kepada masyarakat.

Pihak PPMM memohon dan mencadangkan para mufti memberi pandangan mereka kepada penganjuran hiburan seumpama ini di Malaysia.

Kami ingin mendengar pandangan Mufti Perlis, Mufti Pahang, Mufti Wilayah, Mufti Perak dan Mufti Selangor sendiri, tidaklah wajar pada fikiran kami, para mufti mendiamkan diri berbanding kami yang hanya dari kalangan NGO muslim sahaja yang bersuara membantah.

Ini adalah masalah yang berkaitan dengan ummat Islam.

Pihak kami mengesa agar pihak yang terbabit memberi perhatian  kepada Garis Panduan Hiburan yang dikeluarkan oleh JAKIM yang diperakukan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ke 107 pada 11/2/15.

Kepedulian untuk memberi sedikit rasa hormat kepada institusi agama Islam sangatlah dialu-alukan sebagaimana peruntukan perlembagaan bahawa agama rasmi bagi persekutuan ini ialah Islam.

Oleh itu pihak PPMM berharap pihak yang ada kuasa pemutus untuk membatalkan konsert ini membuat pertimbangan semula terhadap keputusan awal mereka membenarkan konsert ini diluluskan untuk hiburan umum.

Kami sekali lagi mohon para mufti memainkan peranan mereka untuk menasihati pemerintah dan menjaga maslahah ummat, terutama penganut Islam di negara ini.

HAMDAN ABDULLAH
Presiden
Pertubuhan Profesional Muslim Malaysia (Professional) - HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace