1MDB: Tubuh suruhanjaya elak campur tangan asing

ROY RASUL | .

KUALA LUMPUR: Negara perlu tubuhkan Siasatan Suruhanjaya Diraja bagi mengelak negara asing menyiasat isu 1Malaysia Development Sendirian Berhad (1MDB), kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Norazli Musa.

Ini kerana negara asing yang mengusai isu 1MDB menunjukkan seolah-olah negara ini tidak ada badan yang boleh adakan siasatan isu tersebut.

Katanya, apabila negara Amerika Syarikat (US) mencampuri isu  1MDB ia memperlihatkan Malaysia memberi ruang kepada negara asing mencampuri kedaulatan negara ini.

Pada hal katanya, negara ini ada badan penyiasat tersendiri antaranya, polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain.

"Disebabkan pihak berkuasa negara sudah ada maka pihak yang berwajib kena jalan siasatan dengan bersungguh isu itu agar rakyat yakin bahawa perdana menteri tidak melakukan penyelewengan 1MDB yang hangat diperkatakan ini," katanya semasa dihubungi hari ini.

Jabatan Keadilan US dilaporkan media pada 21 Julai lalu, memfailkan tindakan undang-undang untuk menyita hartanah bernilai AS1 bilion (RM4 bilion) serta dana 1MDB yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan setakat ini oleh peguam negara Amerika Syarikat berjumlah AS3.5 bilion (RM14bilion) yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dana 1MDB.

Mengulas lanjut Norazli mendakwa, isu tersebut memperlihatkan wujud kepincangan dan satu penipuan kepada rakyat.

"Mengapa US mempunyai bukti dan kenapa pula sebelum ini siasatan yang dibuat pihak berwajib negara tidak ada bukti.

"Dan ini menggambarkan ia tidak ada ketelusan," dakwanya.

Jadi katanya, apabila isu ini didedahkan US membuatkan rakyat makin hilang kepercayaan kepada integriti negara.

Oleh itu katanya, PAS mahu siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu 1MDB.

Ini kerana isu tersebut memalukan negara apabila negara luar pun campurtangan dalam isu 1MDB. – HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace