Tuan Guru Haji Salleh Musa: Permata sukar dicari ganti

HARAKAHDAILY | .

Pemergian tokoh ulama, Tuan Guru Haji Salleh Musa merupakan satu kehilangan besar buat rakyat negeri Kedah khususnya dan umat Islam di rantau ini amnya. Beliau yang dikenali keilmuan dan keperibadian telah meninggalkan jasa sangat besar ke atas umat Islam.

Selaku Mudir Pondok Ar-Rahmaniah, ilmunya telah tersebar luas melahirkan para ilmuan agama yang bertebaran seluruh rantau ini menyampaikan Islam. Bahkan, sebagai bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah beliau telah menggerakkan peranan penting memelihara kepentingan Islam.

Sepanjang hayatnya juga, beliau telah menjadi rujukan penting banyak pihak. PAS Kedah, bahkan Kerajaan Negeri Kedah semasa dipimpin Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak turut mendapat sentuhan nasihat berharga daripada beliau.

Pemergian beliau bermakna terangkat juga ilmu sebagaimana hadis mengenainya yang disabda Baginda Rasulullah SAW. Menginsafi ianya tidak berganti, PAS Kedah berharap umat Islam terus istiqamah bersama saf ulama yang masih ada menghadapi pancaroba akhir zaman.

Ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga beliau serta anak-anak muridnya. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh almarhum dan ditempatkan beliau di kalangan para nabi, siddiqin dan syuhada.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
22 Julai 2016 | 17 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace