TG Abdul Hadi terima kunjungan Hindu Sangam

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: Majlis Agama Hindu Sangam Terengganu mengadakan kunjungan hormat bertemu dengan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pertemuan santai selama satu jam itu diadakan di kediaman Ustaz Abdul Hadi di Kampung Rusila, sebaik sahaja selesai menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Seramai enam orang pemimpin Hindu Sangam itu diketuai oleh Pengerusinya, Dr Bala Chandran Gopal Krisnan bersama Penasihat Hindu Sangam Terengganu, Mr George Kumar, Dr Kumaren (setiausaha) serta tiga orang AJK terdiri daripada Mr Munusamy, Mr Yogananthan dan Mr Ramachandran.

Dalam pertemuan tersebut pelbagai isu agama berkaitan dengan hak orang bukan Islam, rang undang-undang (RUU) 356, persepsi negatif terhadap Islam, isu kumpulan militan negara Islam (IS), isu pendakwah Dr Zakir Naik dan banyak lagi.

Sehubungan itu, Tuan Guru Abdul Hadi merakamkan ucapan ribuan terima kasih di atas kesudian rombongan Hindu Sangam Terengganu datang ke rumah beliau.

Katanya, pertemuan seumpama itu wajar diadakan selalu dengan mengadakan siri dialog atau perbincangan secara sihat dan matang.

“Terima kasih kerana sudi datang berkunjung dan tidak menjadi masalah untuk kita sama-sama duduk berbincang, bertukar-tukar pandangan dengan berhujah,” ujarnya kepada rombongan tersebut.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Presiden PAS sentiasa bersedia bertemu dengan mana-mana kumpulan agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

Sementara itu, Dr Bala Chandran melahirkan rasa amat bertuah dan gembira dengan pertemuan tersebut.

“Saya rasa cukup bertuah dan sangat gembira kerana pada hari ini dan pertama kalinya dari Hindu Sangam Terengganu datang bertemu dan berbincang secara langsung.

“Rombongan kami ini telah mendapat penjelasan pelbagai isu secara terus dari Tuan Guru kita sendiri,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 22/7/2016

Share on Myspace