Mahkamah Syariah Selangor bicara malam mulai 25 Julai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah Selangor mengadakan sesi perbicaraan pada sebelah malam bermula 25 Julai ini dalam usaha mengurangkan bilangan kes tertunggak yang tinggi.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif itu juga bagi membantu pihak yang sukar mendapatkan cuti pada waktu siang untuk menghadiri prosiding pada sebelah malam.
 
Katanya, prosiding sebelah malam kali pertama pada Isnin ini dikendalikannya sendiri sebanyak dua kali dalam sebulan bermula jam 8 hingga 10 malam.

Tambahnya, sesi perbicaraan malam itu diperluaskan ke dewan hakim Syarie lain secara berperingkat mengikut kesesuaian.

“Saya mengambil inisiatif tersebut bagi mempercepatkan perjalanan kes khususnya bagi mengurangkan bilangan kes tertunggak yang tinggi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau berharap semua hakim Syarie di Selangor bersedia untuk mengadakan sesi ‘night court’ bagi mengurangkan kes tertunggak di dewan masing-masing.

Menurutnya lagi, prosiding pada waktu malam juga dilihat sebagai sumbangan dan tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan Mahkamah Syariah Selangor dalam membantu masyarakat.

Beliau pernah mengendalikan prosiding pada sebelah malam ketika menjadi Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 1998 hingga 2000 dan sepanjang tempoh itu, kira-kira 2,000 kes tertunggak berjaya diselesaikan.

Share on Myspace