Cawangan PAS pertama di Pantai Timur ditubuh

HARAKAHDAILY | .

CAWANGAN PAS PERTAMA DI PANTAI TIMUR DITUBUHKAN DI PASIR MAS (23 JULAI 1953)

PADA hari ini dalam tahun 1953, Cawangan PAS yang pertama di Pantai Timur telah ditubuhkan di Pasir Mas dalam satu pertemuan ahli-ahli PAS di Masjid Lama Bandar Pasir Mas. Rancangan menubuhkan PAS Cawangan Pasir Mas ini telah disusun sejak 1952 terutama setelah Ustaz Amaluddin Darus diterima keahliannya pada Disember 1952.

Akhbar Utusan Melayu pada 15 Julai 1953 telah mendedahkan bahawa PAS telah mempunyai sebanyak 20 buah cawangan di seluruh Tanah Melayu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953, termasuk PAS Cawangan Pasir Mas yang akan ditubuhkan dalam masa yang terdekat.

Rancangan mengembangkan PAS di Kelantan telah menjadi prospek PAS sejak awal kerana kesedaran politik Islam yang tinggi di negeri ini. Sejak 1951, PAS telah meletakkan negeri Kelantan dan Terengganu di bawah zon Utara bersama Kedah dan Perlis yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol.

Pada 9 September 1952, Naib Yang Dipertua Agung PAS itu telah mengadakan majlis penerangan tentang PAS di Pasir Puteh, diikuti majlis yang serupa bersama ulamak-ulamak di Pondok Bunut Payung keesokkannya. Penyokong-penyokong PAS dari Pasir Mas termasuk Ustaz Amaluddin Darus, Imam Che Muda Yusof dan Ahmad Yatim telah menyusun program taklimat yang sama di Pasir Mas pada malam 10 September 1952, tetapi Tuan Guru Haji Hussein Che Dol berhalangan untuk hadir walaupun pada awalnya telah dipersetujui.

Namun begitu, sejak awal 1953, usaha-usaha untuk menarik umat Islam untuk menyertai PAS telah dipergiat oleh Ustaz Amaluddin Darus, Ahmad Yatim dan Haji Mohd Noor Senik. Mereka membuat sesi penerangan di masjid-masjid dan kedai-kedai kopi, selain menziarahi guru-guru pondok sekitar Pasir Mas untuk mendapatkan sokongan kepada PAS.

Ustaz Amaludddin Darus yang berasal dari Kulim, Kedah merupakan lulusan Madrasah al-Huda, Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai pegawai bomba di Pasir Mas. Beliau memainkan peranan utama dalam mengumpulkan sokongan kepada PAS. Sehingga Jun 1953, telah terdapat 60 orang ahli PAS di kawasan Pasir Mas. Mereka telah mendapat sokongan Pejabat Agung PAS untuk menubuhkan Cawangan PAS di Pasir Mas yang dirancang untuk dibuat dalam bulan Julai 1953.

Hasil usaha keras ini, akhirnya pada 23 Julai 1953, satu perjumpaan ahli-ahli PAS seluruh Pasir Mas telah diadakan di Masjid Lama Pasir Mas. Dalam pertemuan ini, mereka telah bersetuju menubuhkan PAS Cawangan Pasir Mas sebagai bukan sahaja cawangan perintis di Kelantan, tetapi cawangan yang pertama di Pantai Timur Semenanjung, sedangkan 19 buah lagi Cawangan PAS ketika itu bertumpu di Pantai Barat.

Dalam perjumpaan ini, Haji Omar Yusof telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Pasir Mas yang pertama, sedangkan Ustaz Amaluddin Darus pula dinamakan sebagai setiausahanya. Bekas Qadhi Pasir Mas, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad yang juga bekas Yang Dipertua Jabhah ad-Diiniah al-Islamiyah Kelantan, bekas Ketua MATA Kelantan dan bekas Ketua Hizbul Muslimin Kelantan adalah antara pendukung utama penubuhan PAS di Pasir Mas ini.

Kejayaan menubuhkan PAS Cawangan Pasir Mas telah memberikan harapan baru kepada PAS di Kelantan, terutama setelah PAS mengambil keputusan pada 27 Mac 1954 untuk menyertai Pilihan Raya Umum yang dijangka diadakan sebelum 1956.

Pada 14 April 1954, PAS telah menghantar Mohd Asri Haji Muda, Pegawai Kewangan PAS bersama Ustaz Othman Abdullah, Ketua Dewan Pemuda PAS untuk membuat penerangan besar-besarkan tentang PAS di lebih 20 lokasi di Kelantan. Akhirnya, pada 26 November 1954, Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur.

Sejak tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953, PAS berkembang dengan penubuhan PAS Cawangan Machang (21 September 1953), Pasir Puteh (1 Oktober 1954), Kota Bharu (18 November 1954), Tanah Merah (1955), Bachok (1 Mac 1957) dan Tumpat (Mei 1957).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
23 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 23/7/2016

Share on Myspace