722 guru Pasti terima sijil pada konvo Pasti Malaysia

IZWAN ABDUL HALIM | .

PARIT: Majlis Konvokesyen Perguruan Pasti Malaysia Kali Ke-9 telah berlangsung dengan penuh istiadat gilang gemilang di Hotel D'Seri Iskandar, Tronoh di sini pada 22 dan 23 Julai.

Ucaptama dan pengurniaan sijil perguruan telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada hari kemuncak, semalam.

Terdahulu pada istiadat pembukaan kelmarin, pengurnian sijil disampaikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Seramai 722 guru layak menerima pengurniaan tersebut dengan perolehan masing-masing sama ada pencapaian Kepujian atau Puncak.

Menurut Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Ustaz Mohd Azam Abd Samat, semua penerima adalah para guru yang telah lulus dengan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Antaranya ujar beliau, mengikuti tempoh kursus berperingkat antara dua setengah hingga tiga tahun, diikuti praktikum dan penilaian jati diri serta peperiksaan.

Menurutnya, syarat tersebut merupakan ketetapan standard yang perlu diperolehi setiap guru Pasti bagi memperolehi kelayakan mengajar.

Kejayaan para guru terbabit juga dirai dalam suasana penuh ceria dan gembira oleh ahli keluarga yang turut hadir memeriahkan majlis.

Sementara itu, guru Pasti dari Selangor, Atiqah Mohd Mokhtar telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden atas kecemerlangan diperolehnya.

Beliau menerima plak dan hadiah khas atas pencapaiannya itu. – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace