Buletin Mutiara didakwa sebar doktrin canggah Islam

IZWAN ABDUL HALIM Foto ZAIN AZRAI ABD GHANI | .

KEPALA BATAS: PAS Negeri Pulau Pinang menggesa agar tindakan diambil terhadap artikel bercanggah dengan Islam yang disiarkan menerusi Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, akhbar rasmi kerajaan negeri itu telah disalahgunakan untuk menyebar doktrin politik DAP.

"Sepatutnya sebagai akhbar rasmi, ia menyiarkan aktiviti kerajaan. Sebaliknya menyiarkan artikel bercanggah Islam dan mempromosikan Islam Liberal dan seumpamanya, terutama memuatkan tulisan dari Penang Institute.

"Jabatan Mufti perlu melihat serius perkara ini yang menimbulkan prejudis terhadap Islam. Tambahan pula akhbar ini disebar edar ke seluruh masjid-masjid dalam negeri ini.

"Sedangkan di masjid kita mengajar perkara yang membatalkan akidah, yang rosakkan Islam. Ini tidak wajar, ini macam hina Islam. Artikel-artikel dari Penang Institute ini kita lihat tidak sensitif pada umat Islam.

"Kalau tulis di akhbar Roket (milik DAP) lainlah, ini akhbar rasmi. Belanja duit rakyat tapi salah guna untuk doktrin DAP dan pemikiran bercanggah Islam," tempelaknya.

Beliau membangkitkan hal itu pada idang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang di Pejabat PAS Negeri, Pongsu Seribu di sini sebentar tadi.

Merujuk edisi terbaru buletin itu, beliau menyanggah tulisan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mengenai RUU Akta 355.

Bidasnya, tulisan Zairil yang juga Ketua Eksekutif Penang Institute itu adalah sama sekali tidak benar.

"Beliau telah menulis perkara yang tidak sepatutnya diucapkan sebagai orang Islam. Sebagai Ahli Parlimen jika beliau tidak puas hati (mengenai usul pindaan Akta 355) beliau boleh berbahas di Sidang Parlimen. Guna hujah-hujahnya di Parlimen," gesa Fauzi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah beberapa kali memanggil Zairil meminta penjelasan.

Bagaimanapun katanya, Zairil tidak pernah datang dan sewajarnya jika Ahli Parlimen itu berani mempertahankan hujahnya secara akademik, beliau pasti datang.

"Malangnya beliau tidak pernah hadir untuk mempertahankan tulisannya," kesali Afnan yang juga anggota jawatankuasa tersebut. – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace