PAS gesa dokumen 1MDB diklasifikasikan semula

IZWAN ABDUL HALIM | .

KEPALA BATAS: PAS menggesa supaya dokumen berhubung 1MDB yang ketika ini berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) agar diklasifikasikan semula.

"Biar ia terbuka (untuk dinilai). Kalau pemimpin jujur, mereka tidak perlu takut. Malah terbaru kita minta agar diadakan Suruhanjaya Siasatan DiRaja," ujar Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Katanya, secara umum PAS percaya adanya berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung skandal 1MDB.

Namun katanya, PAS masih meneliti perkembangan lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang di Pejabat PAS Negeri, Pongsu Seribu, hari ini.

Menjawab mengenai Himpunan BERSIH 5.0 yang dikatakan bakal diadakan atas desakan berkaitan, beliau berkata, PAS belum dipanggil untuk membincangkan perkara itu. – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace