PAS yakin pembubaran Dun P. Pinang tidak berlaku

IZWAN ABDUL HALIM Foto ZAIN AZRAI ABD GHANI | .

KEPALA BATAS: PAS yakin Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang tidak akan diadakan, namun tetap bersiap menghadapinya jika berlaku pembubaran Dun.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, keyakinan itu setelah mendapat maklumat dan berdasarkan analisis semasa yang berlaku.

Antaranya ujar beliau, pimpinan DAP tidak sepakat untuk menghadapinya, malah pimpinan Pakatan Harapan juga begitu.

"Desas desus agak kuat, tetapi saya tidak yakin iaa akan diadakan. Nampak Ketua Menteri pun berubah-ubah kenyataan dia. Namun PAS bersedia menghadapi kemungkinan (pembubaran).

"Semua pihak membincangkannya, tetapi tiada yang dimuktamadkan. Perkara ini timbul kerana kes dihadapi Guan Eng. Saya kata begini kerana sebelum ini memang tidak timbul (cadangan PRN)," ujarnya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang di Pejabat PAS Negeri di Pongsu Seribu, hari ini.

Ditanya persiapan dan pencalonan dari PAS seandainya berlaku PRN, Mustafa berkata, semuanya siap sebaik pembubaran diisytiharkan, namun tetap yakin ia tidak berlaku.

Ditanya mengenai tahaluf beliau menegaskan, PAS berpegang dengan keputusan Majlis Syura Ulamak bahawa parti itu masih mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Untuk hubungan seterusnya lihat keadaan. Tetapi soal hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan itu tidak berbangkit. Namun seperti kata Tok Guru Presiden, PAS terbuka kepada mana-mana pihak yang sedia hormati dasar PAS.

"Parti baharu ni tak kan saya nak buat kenyataan lebih dari Tun Dr Mahathir sebut? Jadi, kita tunggu dan lihat. Keputusan kita, kita lawan Umno, ini tiada kompromi, tiada tahaluf siyasi.

"Kalau ta'awun itu lain. Misalnya kerjasama dalam kerajaan untuk kepentingan rakyat, bantu rakyat, itu lain," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan, pihaknya bersedia menghadapi PRN biarpun diadakan pada bila-bila masa.

Menurutnya, pihak beliau berpendirian bahawa PRN itu hendak segera diadakan segera semata-mata untuk kepentingan DAP dan bukannya rakyat.

"DAP dah sama macam Umno. Melihat kepentingan parti dia, bukan untuk rakyat. Dia nak buat pilihan raya masa dia rasa boleh menang," tempelaknya. – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace