Umat Islam digesa jangan hadir konsert

IZWAN ABDUL HALIM | .

KEPALA BATAS: Kerajaan mempunyai tanggung jawab untuk menasihat umat Islam agar tidak hadir ke Konsert Selena Gomez yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam malam esok.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan mesti menyatakan galakan itu secara rasmi disebalik kebenaran yang diberi untuk masyarakat bukan Islam.

"Orang bukan Islam hendak berhibur, kerajaan hendak beri hak itu terpulang. Tetapi Dewan Pemuda PAS mempertahankan pendirian kami bahawa konsert itu tidak sesuai untuk umat Islam.

"Orang bukan Islam dengan cara hiburannya sendiri yang tidak sama dengan orang Islam. Bila kami membantah bukan suruh tutup hiburan, tetapi meminta kerajaan bertegas bahawa hiburan dari Barat ini tidak sesuai dan merosakkan anak muda.

"Malah, hukum hiburan dalam Islam berdosa perempuan mengadakan persembahan di hadapan lelaki. Ibu bapa juga tidak boleh biarkan anak mereka berdosa seperti ini," nasihatnya.

Beliau menegaskan perkara itu pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang di Pejabat PAS Negeri di Pongsu Seribu, hari ini.

Jelasnya, kerajaan boleh membuat galakan itu sebagaimana menyatakan bahaya merokok di kotak rokok.

Terang beliau, Islam tidak menghalang hiburan, namun mengehadkannya sekadar yang dibolehkan syarak menurut batas-batasnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace