Skandal 1MDB: Sampai bila akan selesai?

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAPIM kesal penyelesaian tertangguh isu 1MDB kini telah mengheret Malaysia kepada kedudukan yang sangat buruk pada mata dunia. Malaysia kini kehilangan kredibiliti sebagai sebuah negara yang dikatakan mengamalkan dasar membasmi rasuah dan salahtadbir kewangan negara.

Ternyata siasatan 1MDB yang dianggap sudah selesai di Malaysia, kini sedang disiasat di negara asing. Pendedahan terbaru yang diumumkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengejutkan semua.

Kerajaan tidak boleh lagi berhujah bahawa ada rancangan campurtangan dari luar kerana kes ini melibatkan salah urus dan penyelewengan yang melibatkan dana sebuah syarikat Malaysia yang dikelola oleh rakyat Malaysia sendiri.

Dengan pendedahan terbaru oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu, rakyat sekali lagi terpaksa menunggu dalam kekaburan. Apakah sebenarnya kedudukan pengurusan dana syarikat pelaburan Malaysia itu, padahal pihak Peguam Negara sebelum ini mengisytiharkan tidak ada salahlaku dalam pengurusan 1MDB.

Timbalan Perdana Menteri menyatakan Malaysia komited untuk bekerjasama dalam kes yang sedang difail oleh DOJ dan mereka yang didapati bersalah akan menghadapi hukuman sewajarnya.

Jika siasatan telus tidak dilakukan, Malaysia akan tercatat sebagai negara yang melindungi pesalah dan menghalalkan skandal salahguna wang awam terbesar dalam sejarah negara ini.

Akibat dana 1MDB berbilion ringgit dibenarkan bergerak dalam transaksi yang dilihat sebagai pengubahan wang haram (money laundering), imej pengurusan ekonomi Malaysia kini sangat terjejas.

Malangnya pihak berkuasa Malaysia nampaknya terus berdalih untuk mempertahankan pengurusan 1MDB yang terpalit dengan pelbagai persoalan.

Padahal pendedahan demi pendedahan terus tersiar yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap agensi yang sepatutnya menjalankan penguatkuasaan.

Kini rakyat dimaklumkan pendakwaan sivil serta rampasan aset yang berkaitan dengan dana 1MDB telah dimulakan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Respon kerajaan Malaysia maseh kabur dan tidak tuntas. Sedangkan kes ini termasuk kes Pengubahan Wang Haram yang melibatkan dana dari sebuah syarikat pelaburan Malaysia yang sangat besar.

Beberapa Menteri nampaknya maseh berada dalam sindrom penafian. Belum jelas apakah yang sebenarnya patut dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Yang didengari rakyat hanya kenyataan berulang agar rakyat jangan cepat membuat rumusan dan mengesa agar rakyat memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri.

Soalnya sampai bila setiap kali pendedahan diangkat ke pengetahuan umum, pemimpin kerajaan memberi reaksi akan mendakwa mereka yang mendedahkan maklumat yang dikelasifikasi sebagai maklumat sulit. Bukan bertindak untuk menghukum mereka yang bersalah.

Kes sivil ini yang akan dibawa kemuka pengadilan di Amerika Syarikat itu adalah dibawah kesalahan mencuri khazanah negara oleh pemerintah sendiri. Mengguna peruntukan Kleptocracy Asset Recovery Initiative (Inisiatif merampas aset yang dicuri oleh pihak berkuasa dan memulangkan kembali kepada pemilik).

Jika ia benar suatu kes sivil, ia tetap satu pengkhianatan berskala terlalu besar kerana nilai wang berbilion ringgit yang dilibatkan itu adalah jumlah wang yang bakal menjadi liabiliti kepada negara yang akhirnya ditanggung oleh rakyat sendiri.

Reaksi pemimpin negara bahawa Kerajaan Malaysia memandang serius terhadap kes ini masih tidak menyakinkan rakyat Malaysia.

Perjalanan aliran dana 1MDB dikesan melalui beberapa jalur, bergerak ke beberapa syarikat dan berakhir dengan manfaat bernilai berbilion ringgit kepada beberapa kerat individu.

Sudah tentu bagi rakyat biasa, sangat sulit memahami  bagaimana modal berbilion ringgit dari 1MDB dipindah dari satu syarikat kepada satu syarikat yang melibatkan empat negara  iaitu UK, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Singapora dan Malaysia.

Oleh sebab itu isu pengubahan wang haram yang dilakukan dengan sangat licik di arena antarabangsa sering tidak diberi perhatian oleh rakyat biasa.

Apa yang mudah difahami ialah sejumlah lebih RM4 bilion ( USD1 bilion ) dari syarikat Malaysia yang berpunca dari modal rakyat Malaysia telah dipindahkan kepada poket individu.

Pihak DOJ Amerika Syarikat mendedahkan ujudnya penglibatan "Malaysian Official 1" dalam laporannya. Walaupun tidak dinamakan individu berkenaan sepatutnya ia sudah cukup untuk pihak berkuasa Malaysia segera bertindak.

Menunda sehingga ada sebutan rasmi nama individu yang dimaksudkan, akan menyebabkan persepsi rakyat semakin kukuh bahawa pihak berkuasa Malaysia mahu melindungi individu berkenaan dari didakwa.

Pendakwaan sivil itu mengaitkan pemindahan wang dari 1MDB kepada beberapa individu yang mendapat kelulusan penjawat awam nombor 1 Malaysia. Mengikut laporan DOJ, mereka mendapat habuan lumayan beratus juta USD dari dana 1MDB secara transaksi pintas yang menyalahi undang-undang Amerika Syarikat.

Jika ini dianggap perkara biasa seperti yang dikatakan oleh seorang Menteri Kabinet Malaysia, jelas integriti kerajaan di negara ini tidak dapat dipertahankan lagi.

Kami mengesa:

1.Adakan sidang khas Parlimen untuk membahaskan isu 1MDB dan Perdana Menteri dan seluruh Jamaah Menteri perlu bersedia menjawab persoalan yang dibangkitkan sehingga tidak ada hal yang berkaitan dengan isu tersebut tidak mendapat penjelasan yang tuntas.

2.PAC dan SPRM perlu segera mengadakan pertemuan secara langsung dengan DOJ dan Peguam Negara Amerika Syarikat yang mengisytiharkan siasatan mereka mempunyai cukup bukti untuk melancarkan tindakan sivil ke atas individu serta aset yang terbabit dengan pengubahan wang haram melalui 1MDB.

3.Wang dan aset daripada kekayaan yang diperoleh oleh individu berkenaan daripada pemindahan dana 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat hendaklah dijamin dipulangkan kepada Malaysia.

4.Siasatan yang baru untuk meneliti laporan DOJ hendaklah dijalankan oleh sebuah Suruhanjaya Khas bagi mengenalpasti siapa, sejauhmana dana dipindahkan dan bagaimana salahlaku pengurusan syarikat pelaburan Malaysia dapat dikenalpasti. Rekomendasi yang jelas berdasarkan siasatan yang dilakukan hendaklah dibentangkan di Parlimen. – HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace