Umno jemput PAS sertai persidangan Melayu

HARAKAHDAILY | .

UMNO JEMPUT PAS SERTAI PERSIDANGAN MELAYU UNTUK IMBANGI PENGARUH DATO' ONN (25 JULAI 1953)

PADA hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menerima jemputan daripada Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra untuk menyertai Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu anjuran Umno bagi membincangkan isu tuntutan pilihan raya  segera peringkat Persekutuan ke arah berkerajaan sendiri.

Persidangan yang diadakan di Johor Bahru pada 14 Ogos 1953 ini asalnya adalah persaingan politik peribadi di antara Tunku Abdul Rahman Putra dengan bekas Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar setelah pengasas Umno itu menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Para pengkaji mengatakan bahawa pengaruh Umno terjejas ekoran kejayaan Dato' Onn Jaafar mengadakan National Conference yang menggabungkan pertubuhan politik dari pelbagai kaum.

Umno yang mencari jalan untuk menafikan peranan Dato' Onn Jaafar sebagai pemimpin politik Melayu, telah mengatur sebuah persidangan yang melibatkan semua pertubuhan politik Melayu, sekali gus meminggirkan pengaruh Dato' Onn Jaafar. Satu langkah yang penting pada pandangan Umno ialah menghimpunkan semua pertubuhan politik Melayu di bawah anjuran Umno sebagai simbol sokongan mereka kepada Umno.

Persidangan anjuran Umno ini juga menjadi perintis kepada persaingan antara Umno-MCA dengan IMP yang membawa kepada penajaan National Convention pada 23 Ogos 1953. Ketiga-tiga perhimpunan ini - National Conference, Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu dan National Convention - adalah mempunyai tujuan yang sama, iaitu menuntut pilihan raya segera, tetapi terpaksa berpecah kerana persaingan politik peribadi dalam Umno.

Di sebalik pergolakan ini, ekoran tindakan Umno menarik diri dari National Conference, PAS telah menjadi wakil orang Melayu dalam persidangan tajaan Dato' Onn Jaafar ini. Apabila Umno merancang persidangan yang baru, PAS secara terbuka menyatakan kesediaan untuk menyertainya, kerana sebagai sebuah parti yang baru ditubuhkan, persaingan politik seperti ini telah memberi ruang kepada PAS untuk tampil ke tengah mewakili suara Melayu Islam.

Dato' Onn memerlukan PAS sebagai satu-satunya wakil parti Melayu dalam National Conference, sedangkan Umno memerlukan sokongan PAS bagi menghidupkan National Convention sekali gus menguburkan National Conference tanpa sokongan Melayu. Atas sebab ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Jun 1953 menyatakan kesediaan untuk menyertai himpunan anjuran Umno jika dijemput.

Kesediaan PAS ini segera disambut oleh Umno kerana mereka sedar bahawa Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan adalah penyokong kuat Dato' Onn Jaafar sebelum Umno berpecah pada 1953.

Selepas Mesyuarat Agung Umno pada 25-26 Ogos 1953, Umno telah berpecah tiga sehingga mewakili tiga kelompok Umno iaitu Melayu, Islam dan multi racial terbentuk Umno (Melayu), PAS (Islam) dan IMP (multi racial). Yang jelas, kerana persaingan politik di antara Tunku Abdul Rahman Putra dengan Dato' Onn Jaafar inilah, PAS telah memanfaatkan peluang ini untuk muncul sebagai sebuah parti politik yang penting menjelang kemerdekaan.

Pada 25 Julai 1953, Yang Dipertua Agung Umno itu segera menjemput PAS menyertai Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mereka anjurkan.

Ternyata Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu anjuran Tunku Abdul Rahman Putra adalah tidak berbeza dengan National Conference anjuran Dato' Onn Jaafar dari sifatnya. National Conference adalah gabungan politik yang dianggotai oleh parti-parti bukan Melayu yang telah bergabung dalam IMP, tetapi menjelma sebagai gabungan politik dengan jenama baru - National Conference - yang turut disertai oleh PAS. Sedangan persidangan Melayu anjuran Umno telah disertai oleh 10 buah persatuan termasuk PAS, yang sebahagian besarnya telah bersekutu dengan Umno sejak 1946.

Keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Julai 1953 untuk menerima tawaran Umno menyertai persidangan ini telah menyebabkan PAS diiktiraf sebagai sebuah parti yang setaraf dengan Umno, sedangkan kumpulan Dato' Onn juga memberi pengiktirafan yang serupa kepada PAS apabila pemimpin PAS turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference. Sejak menyertai kedua-dua persidangan ini, PAS telah muncul sebagai sebuah parti politik Islam yang bertaraf nasional.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace