Antara Ifrat dan Tafrit, PAS dan Umno

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SUDAH setahun PAS sejak kepimpinan baru pasca muktamar lepas memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) kepada rakyat. Ia sebagai transformasi dari amalan politik Malaysia sebelum ini yang lebih kepada politik kepartian, politik kebencian, perkauman, persepsi, populis, pragmatis dan seumpamanya.

Secara lebih mudah, BPMS diperkenalkan untuk merubah cara orang PAS sebagai parti pembangkang dalam berpolitik menghadapi pihak Umno-BN yang menjadi kerajaan.

Jika dahulu tugas pembangkang yang dikenali adalah membangkang semua yang kerajaan lakukan, tapi dengan BPMS ia tidak lagi seringkas itu. Bukan semua perkara perlu dibangkang terutama dalam perkara yang memberi manfaat untuk rakyat.

Namun adat benda baru, pasti sukar untuk mencapai kesempurnaan sebagaimana yang digaris. Sepanjang setahun membawa budaya BPMS ini, apa yang saya perhatikan terdapat kalangan penggerak PAS yang tersilap faham maksud BPMS. Ada yang memahami dengan melebih-lebih (ifrat) dan ada yang terlalu cuai (tafrid). Saya kemukakan contoh:

IFRAT: terlebih-lebih memahami BPMS. Mereka menganggap BPMS bermaksud berbaik dengan Umno tanpa apa-apa sempadan. Sampai lupa PAS dan Umno masih lagi dua entiti yang berbeza dasar dan prinsip.

Sampai ada yang terus bersama Umno baik dan buruknya, menyokong Umno buta tuli walaupun dalam bab kemudaratan atas alasan sama akidah. Bekerjasama tanpa batas syariat, undang-undang, akhlak dan maruah

TAFRIT: terlalu cuai dan longgar. Mereka menganggap BMPS adalah baik dengan semua orang termasuk berlainan akidah malah musuh Islam.

Ada yang mengguna alasan BPMS untuk berbaik semula dengan pihak yang sudah terang memusuhi Islam dan pihak yang pernah mengkhianati perjuangan. Masih menganggap PAS kerdil, tidak boleh bergerak tanpa bergabung dengan parti-parti lain.

BPMS: Jalan tengah antara kedua ifrat dan tafrit. Tidak cuai dan tidak berlebih. Sebaliknya istiqamah atas agenda PAS yang sudah dirangka tanpa terpengaruh dengan agenda mana-mana pihak.

Menjadikan Islam sebagai matlamat utama dan selamanya walau terpaksa melawan persepsi awam. Berpegang pada prinsip bukan pragmatik walau terpaksa berundur dari takhta.

PAS telah memperkenal Wawasan Induk Negara (WIN) sebagai agenda. PAS telah memilih untuk membentuk blok ketiga. PAS sudah memiliki rakan politik baru. PAS mahu gerakkan kuasa NGO dan NGI.

Sepatutnya agenda inilah yang ditumpukan. Bukan mengikut mana-mana agenda pihak lain sama ada Umno lama, Umno baru mahupun PH. Istiqamah di atas keputusan yang telah disyurakan. – HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace