Kronologi pendirian PAS berhubung skandal 1MDB

IZWAN ABDUL HALIM | .

DAKWAAN kononnya PAS membisu berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah propaganda, cetusan sensasi dan publisiti murahan pihak yang terdesak untuk mencalar kewibawaan PAS. Malah, difitnah pula pimpinan PAS cuba melindungi mereka yang terlibat termasuk Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan menerima imbuhan ‘dedak’ atas sikap itu.

Hakikatnya, ketika banyak pihak tergopoh-gapah, emosi dan tidak memahami isu sebenar, PAS tenang dan paling terkehadapan menanggapi isu serta permasalahan ini secara matang mengikut lunas pentadbiran, perekonomian dan undang-undang yang selaras.

PAS tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terma universal bahawa setiap tuduhan penyelewengan atau salah guna kuasa mesti disiasat secara telus. Setiap penyiasatan mesti dikemukakan bukti, seterusnya dihadapkan kes untuk diadili, di mana tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Sebaliknya, jika wujud kesilapan pengurusan pelaburan dan kewangan atau salah jangkaan pelaburan, maka penambahbaikan dan kebertanggungjawaban pihak yang berkenaan perlu diberikan perhatian, serta hak pihak tertentu atau rakyat umum dikembalikan.

Maka di sini disenaraikan sebahagian daripada banyak penegasan pimpinan PAS terhadap skandal 1MDB yang mungkin cuba dibutakan oleh sesetengah pihak untuk menghalalkan persepsi jahat mereka kepada PAS:

24 Julai 2016
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peringatan agar pihak asing tidak campur tangan dalam siasatan terhadap skandal dana 1MDB. Katanya, kes 1MDB perlu disiasat secara adil dan telus serta tidak boleh dibiarkan. Namun jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali menggesa supaya dokumen berhubung 1MDB yang ketika ini berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) agar diklasifikasikan semula. Beliau menuntut agar ia terbuka untuk siasatan.

21 Julai 2016
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan parti itu menolak sebarang usaha campur tangan asing termasuk Amerika Syarikat (AS) dalam urusan negara ini. Meskipun demikian PAS tetap memandang serius tuduhan AS kononnya wujud penyelewengan melibatkan 1MDB dan menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes.
 
10 Julai 2016
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap rakyat tidak terpedaya dengan laporan dikeluarkan laman sesawang Sarawak Report mengenai 1MDB. Beliau menggesa agar Laporan Ketua Audit Negara yang tulen didedahkan serta tidak tertakluk di bawah OSA, selain merujuk laporan lengkap yang telah disediakan PAC. Pendedahan itu katanya, perlu supaya dapat dibuktikan bahawa laporan oleh Sarawak Report adalah silap.

31 Mei 2016
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa komponen BN iaitu MCA dan MIC sepatutnya mengugut untuk meletakkan jawatan ketika negara berdepan isu 1MDB dan bukannya ugut hendak letak jawatan sekiranya RUU Akta 355 Mahkamah Syariah diterima.

28 April 2016
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara mampu menambah keyakinan rakyat terhadap usaha memulihkan kedudukan kewangan negara, terutama dalam menyelesaikan kemelut 1MDB serta bersikap tegas terhadap skandal itu.

25 April 2016
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Arul Kanda mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan semua maklumat berkaitan dengan penipuan yang didakwanya.

“Memandang Arul sudah berkali-kali menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan, PAS menyarankan Arul mendedahkan segalanya sebelum beliau berundur. Seeloknya Arul dapat bekerjasama dengan Gabernor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di hari-hari terakhir beliau sebelum bersara untuk merungkai misteri ini,” serunya.

8 April 2016
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak memohon maaf kepada rakyat secara terbuka kerana membiarkan 1MDB mengumpul hutang sehingga RM50 bilion.

Najib juga digesa mengamalkan kepimpinan melalui teladan iaitu mengambil tanggungjawab penuh terhadap kelemahan pentadbiran 1MDB dengan mengundurkan diri sebagai Menteri Kewangan Malaysia pada kadar segera.

13 Oktober 2015
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa Suruhanjaya DiRaja diwujudkan bagi menyiasat skandal 1MDB. Kenyataan beliau itu dibuat bersama Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

7 Oktober 2015
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak supaya siasatan ke atas 1MDB diselesaikan dengan cepat. Katanya, dengan desakan itu, kerajaan seharusnya tidak melengah-lengahkan usaha untuk menghidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB.

Pasukan itu menurutnya, perlu terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membenarkan mereka menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“PAS mengharapkan pasukan siasatan ini akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan,” ujarnya.

3 Ogos 2015
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menggesa isu 1MDB di bawa ke sidang khas Parlimen agar masalah mengenainya dapat terungkai dan telus ke pengetahuan rakyat.

7 Julai 2015
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar meneliti dengan cermat kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS, khususnya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan dan Musyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, berhubung kontroversi 1MDB.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin terbabit bukan bermaksud mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya dengan jelas meminta pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan terhadap Najib.

5 Julai 2015
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menggesa Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyaman WSJ dan Sarawak Report serta membuat deklarasi harta anggota keluarganya jika benar dakwaan media tersebut adalah tuduhan.

7 Jun 2015
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menawarkan kesediaan PAS memberi ruang kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap mendedahkan isu penyelewengan 1MDB.

5 Jun 2015
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyifatkan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa terdapat aliran wang 1MDB bernilai berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib, sebagai tidak logik.

21 Mei 2015
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa Lembaga Pengarah 1MDB sebenarnya tidak berkuasa tanpa kehadiran Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai Penasihat 1MDB. Katanya, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalahkan Lembaga Pengarah 1MDB tanpa melibatkan Najib hanyalah jalan pintas Umno mencari kambing hitam.

“Tidak mungkin dapat mempengaruhi Kerajaan Malaysia untuk menjamin bon-bon yang dikeluarkannya tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Mungkinkah 1MDB dapat membeli tanah TRX dan lapangan terbang Sungai Besi pada harga sebegitu murah hanya dengan pengaruh yang dimiliki ahli pengarahnya sahaja? Siapa pun tak percaya.

“Tanpa kuasa dan pengaruh tertinggi di Malaysia, tidak mungkin 1MDB dapat menghimpun hutang sebanyak RM42 bilion daripada pelbagai sumber termasuklah Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujar beliau.

13 Mei 2015
Naib Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melontarkan persoalan siapakah sebenarnya pembeli sukuk bernilai RM579.2 juta 1MDB seperti didakwa Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli? Beliau turut mempersoalkan di mana dana RM1.5 bilion yang dikeluarkan hasil jualan sukuk oleh 1MDB, yang mana RM920.8 juta disahkan pembeliannya oleh Lembaga Tabung Haji pada Februari 2014.

Menurut beliau, dua hari sebelumnya, Tabung Haji mengaku membeli sukuk Bandar Malaysia terbitan 1MDB sebanyak RM920.8 juta pada Februari 2014.

13 Januari 2015
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan 1MDB menebus kembali semua dana berjumlah AS$2.318 bilion (RM8.147 bilion) yang dilaburkan di Kepulauan Cayman, sedangkan sebelum ini syarikat itu mendakwa ia pelaburan yang sangat menguntungkan.

15 Disember 2014
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar mendesak Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberi penjelasan dakwaan bahawa 1MDB memohon BNM melanjutkan tempoh pinjaman tidak berbayarnya (NPL). – HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace