Kg Laut: Lot dibayar, rumah baharu percuma

ASLANI M | .

TUMPAT: Jarang berlaku di negeri lain apabila penduduk yang terbabit dengan projek kerajaan dibayar pampasan tanah dan mendapat pula rumah percuma.

Sedangkan yang sering disaksikan sebelum ini termasuk di Kampung Banggul Donas, Kuala Nerus Terengganu penduduk teraniaya tanpa mendapat pampasan setimpal.

Namun lain berlaku di Kelantan yakni 13 keluarga yang terbabit dengan projek Warisan Kampung Laut dibayar pampasan tanah dan mendapat rumah percuma.

Malangnya maklumat itu cuba dinafikan pihak tertentu termasuk PAN yang mahu menjuarai isu berkenaan, tanpa memahami keadaan sebenar.

Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Ruslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri bukan mengambil percuma tanah milik penduduk, sebaliknya dibayar pampasan lot dan dibina rumah secara percuma di tempat berdekatan.

Katanya begitu juga penduduk yang menyewa lot milik orang lain di situ yang terbabit projek Kampung Warisan akan diberi pampasan nilai rumah dan mendapat rumah baharu.

“Ini jarang berlaku di tempat lain. Pampasan dibayar, rumah percuma pula dapat di lot yang lebih selesa. Tanah di penempatan baharu itu akan ditambun lebih tinggi.

“Tidak berbangkit kerajaan negeri menzalimi rakyat sebagaimana dituduh pihak tertentu. Mereka tidak faham dan cuba mengeruhkan keadaan,” katanya.

Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa pengambilan balik penempatan penduduk Kampung Laut untuk projek Kampung Warisan dibuat tanpa sebarang makluman dan perundingan.

Wakil penduduk Mohd Nordin Adam dilapor mendakwa hak penduduk cuba diceroboh dan tiada yang boleh diharapkan membela nasib mereka.

Wan Ruslan yang juga Naib Yang Dipertua PAS Tumpat berkata kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius isu yang dibangkit penduduk.

Katanya juga pengambilan balik 13 lot milik penduduk di Kampung Laut bagi membolehkan projek Kampung Warisan dilaksanakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menurutnya keluasan tanah penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah seluas 2.355 ekar termasuk penempatan semula kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Bagi penempatan semula penduduk yang terlibat kerajaan negeri menyediakan lot seluas tiga ekar bagi menempatkan sehingga 13 rumah penduduk dan sebuah surau,” katanya.

Sebanyak tujuh lot lagi terlibat dengan projek menaik taraf jalan sedia ada.

Projek itu dianggar membabitkan kos RM30 juta. Jumlah terbabit tidak termasuk projek tebatan banjir akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Laut setinggi enam meter. – HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace