1MDB: Perlu bukti perkara sebenar berlaku

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: PAS mahu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini berdepan kes saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dibuktikan perkara sebenar yang berlaku.

Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sekiranya didapati bersalah pihak terlibat wajar dibawa ke muka pengadilan.

“Kita ingin mendapat penjelasan dan buktikan perkara sebenar berlaku. Kalau salah, buktikan salah dan begitulah sebaliknya,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Aidilfitri Kelantan Golden Trade (KGT) dan penyampaian sumbangan kepada 60 penerima hari ini.

Pada 20 Julai lepas DOJ memfailkan saman sivil berikutan terdapat dakwaan dana 1MDB bernilai lebih AS$1 bilion digelapkan pihak tertentu di negara tersebut.

Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika mendakwa dana 1MDB dicuri atas nama pelaburan termasuk digunakan bagi membayar hutang judi di Las Vegas.

Saman itu dikemukakan bagi membolehkan pihak berkuasa negara terbabit mendapatkan kembali aset yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata siasatan wajar juga dilakukan di negara ini, bagaimanapun harap ia perlu benar-benar telus. - HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace