PAS Sabah cadang tubuh Yayasan Pendidikan Islam

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menubuhkan satu agensi khas bagi menguruskan hal ehwal pendidikan Islam di Sabah. Ini berikutan daripada kenyataan YB Datuk Hj Mohd Ariffin Mohd Arif yang menyatakan terdapat kekurangan guru bagi mengajar di sekolah-sekolah agama seluruh negeri.

PAS Sabah berpendapat sudah tiba masanya ditubuhkan satu agensi khusus yang mengurus dan mentadbir hal ehwal pendidikan Islam. Sebagai contoh, di Kelantan telah ditubuhkan Yayasan Islam Kelantan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pendidikan Islam.

Memandangkan pendidikan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam kehidupan manusia, maka ianya tidak sepatutnya diurus secara ad-hoc. Sekiranya agensi khusus ini diwujudkan maka segala kekurangan dan kelemahan seperti kekurangan guru, infrastruktur dan kualiti pendidikan boleh ditangani secara lebih spesifik.

PAS  Sabah yakin Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) agak sukar untuk memikir dan menyelesaikan semua perkara ini kerana bidangkuasanya yang pelbagai.

Masih banyak perkara yang perlu ditambah baik bagi memperkasakan pendidikan Islam di Sabah. Sekiranya kerajaan negeri benar-benar ikhlas untuk memperkasakan pendidikan Islam di Sabah maka inilah sebenarnya cara yang terbaik.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah - HARAKAHDAILY 26/7/2016

Share on Myspace