BPMS: Pemimpin PAS juga perlu matang, kata Subky

HARAKAHDAILY | .

KETUA Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama beberapa orang Ahli Jawatankuasa DMPM mengambil peluang sempena bulan Syawal yang mulia untuk menziarahi veteran PAS, Tuan Haji Subky Latif atau lebih dikenali dengan nama Pak Subky.

Memulakan ziarah dengan jamuan raya, Pak Subky sanggup menunggu para tetamu untuk makan bersama sebagai tanda hormat dan adab kepada tetamu.

 “Siapa juga yang datang ke rumah mesti tidak akan pernah senyap,” cerita Puan Naznah, isteri beliau yang ramah melayan tetamu.

Kata-kata yang ringkas ini membuktikan bahawa terlalu banyak ibrah dan hikmah yang boleh dicungkil dan digali daripada Pak Subky.

Begitu juga rombongan DMPM tidak melepaskan peluang yang ada ini untuk mendengarkan kata-kata hikmah daripada beliau.

Nasihat pertama yang diperoleh adalah mendahulukan gerak kerja Jemaah berbanding ziarah sahabat kerana beliau menyedari bahawa PAS terlalu banyak kerja yang perlu dibuat dan kerana itu beliau tidak pernah berkecil hati sekiranya pimpinan PAS tidak menziarahi beliau.

“Jangan tinggalkan kerja Jemaah sebab nak datang ziarah,” nasihat yang ringkas tetapi penuh bermakna buat semua penggerak parti.

Menyebut tentang agenda politik matang dan sejahtera yang dibawa oleh PAS sekarang, Pak Subky mengingatkan bahawa agenda ini bukan hanya semata-mata agenda parti atau Jemaah.

Malah ia seharusnya diterjemahkan dalam diri para pemimpin parti terlebih dahulu. Apabila ditanya berkaitan bagaimana matang yang dimaksudkan.

“Matang itu sempurna. Kelemahannya sedikit, buah fikirannya mencerminkan kewibawaanya. Mereka sunyi daripada kelemahan.

Mereka tidak bercakap perkara yang tidak perlu dan tidak penting. Mereka yang matang mereka yang kurang bercakap, bercakap perkara yang berfaedah sahaja," jelas Pak Subky.

Beliau mengingatkan, “Kalau orangnya (merujuk kepada pimpinan dan ahli) tidak matang, politik matang tu tidak akan berhasil.”

Pada akhir pertemuan, beliau sempat berkongsi suka duka pengalaman beliau ketika bersama PAS. Beliau turut mengingatkan supaya ahli-ahli PAS terus tetap berada dalam Jemaah walaupun apa jua terjadi. – HARAKAHDAILY 26/7/2016

Share on Myspace