Bersyukur kita pandai, railah kelemahan orang lain

HARAKAHDAILY | .

Tidak ada manusia yang hebat, serba serbi tahu dalam semua bidang. Allah SWT menjadikan manusia potensi berbeza antara satu sama lain. Jika semua sama sahaja potensi maka tidak ada tamadun yang dicipta di atas dunia. Jika semua orang kaya di atas muka bumi ini, maka tidak adalah pakaian. Siapa hendak tanam kapas. Siapa yang hendak jahit baju. Jika semua orang tidak mahu bekerja buruh kasar sebaliknya mahu bekerja pegawai sahaja. Adakah manusia bahagia? Apa yang penting mesti berganding antara satu sama lain.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (Al-Zukruf: 32)

Jika Allah beri kepada kita kelebihan dalam bidang agama dan fasih berbahasa Arab jangan pula perlekeh orang lain yang tidak sama macam kita. Kalau kita pakar strategik jangan rendahkan martabat seorang yang tidak boleh membaca aras tinggi. Kalau kita pandai berniaga jangan hina orang lain yang tidak pandai berniaga. Kalau kita bijak ekonomi jangan perbodohkan orang lain kerana tidak sehebat kita.

Allah tidak bagi kepada seorang yang menguasai semua bidang dalam urusan hidup. Oleh itu, jangan kita sombong apabila kita hebat di dalam sesuatu bidang. Tetapi jangan lupa kita memiliki seribu kelemahan yang lain. Kalau kita hebat dalam strategi politik misalnya tetapi kita lemah untuk cakna kebajikan orang ramai. Ada yang petah bercakap tetapi kedekut. Ada yang pandai jaga kebajikan tetapi lemah politik antarabangsa.

Ertinya jangan kita harap seorang itu sempurna dalam semua sudut. Sebagaimana orang lain juga tidak boleh mengharap kita menguasai semua benda. Selagi namanya manusia mesti ada kekurangan. Jika kita perlekeh ulama kerana tidak pandai ekonomi, nanti orang serang balas balik. Apalah awak ini seorang Islam, tapi baca Fatihah pun tak betul, makhraj macam muallaf. Sepatutnya seorang Islam wajib membaca ayat Al-Quran semasa berhujah. Ini adalah hujah kalau kita hendak bergaduh dan jawapan balas antara satu sama lain. Masing-masing ada buah keras untuk menjatuh sesama sendiri. Akhirnya hilang fokus. Peluru dihala sesama sendiri. Musuh senyum sampai telinga.

Oleh itu tidak perlulah hendak berlagak sombong tentang kelebihan yang kita ada. Kerana kita juga sarat dengan kecacatan. Tidak rugi pun jika kita bersifat tawaduk. Hormatlah kelebihan orang lain, nescaya orang lain juga akan hormat kepada kita. Jika kita sombong dengan kepandaian kita, nescaya seribu kali orang akan sombong dengan kita.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
21 Syawal 1437 / 26 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 26/7/2016

Share on Myspace