PRN P. Pinang: DAP dan PAN sepakat, PKR bagaimana?

SYED AHMAD FADHLI | .

PILIHAN Raya Negeri Pulau Pinang yang dicadangkan DAP sudah pun dipersetujui oleh PAN, ia diumumkan oleh Lim Guan Eng malam tadi. Lawak pula rasanya, keputusan PAN tetapi ia diumum oleh DAP.

Hanya PKR sahaja yang belum memberi kata putus.

Dijangkakan pada malam ini mereka mengadakan Mesyuarat Khas PKR bagi membuat ketetapan. Setakat ini, kelihatannya PKR masih belum mempunyai keyakinan untuk berdepan dengan Pilihan Raya ini dalam situasi yang jauh berbeza berbanding PRU-13 yang lalu.

PAS sepertimana telah diumum oleh Tuan Guru Presiden PAS tetap akan bertanding sekiranya PRN mengejut ini benar-benar diadakan.

DAP sudah begitu yakin untuk mempertahankan 19 kerusi yang disandang kini, sedangkan PKR dijangka berdepan laluan getir untuk mengekalkan 10 kerusinya kerana mood pengundi Melayu masih tidak jelas ke arah mana sokongannya apatah lagi jika berlaku perlawanan 3 penjuru.

Kita pun tidak jelas apa matlamat hendak diadakan PRN Pulau Pinang ini.? Mungkin DAP berminat mengulangi sejarah Langkah Kajang ciptaan PKR dahulu. Hanya kerana perebutan kuasa, rakyat pula menjadi mangsa yang dilibatkan.

Adakah dengan diadakan PRN ini nanti, Lim Guan Eng akan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah?

Sejak bila pula pilihan raya yang sepatutnya menjadi medan untuk rakyat memilih pemimpin bertukar menjadi mahkamah untuk menyucikan pemimpin yang terpalit dengan skandal salahguna kuasa?

Oh, terlupa pula. Inikan Demokrasi acuan ala DAP yang tidak boleh dipertikai apatah lagi dikritik.

Inilah antara dugaan besar yang dihadapi PAS ketika berada dalam Pakatan Rakyat dahulu, bahkan ketika PAS bersendiri sekarang pun DAP tetap galak menyerang PAS kerana tidak rela menjadi khadamnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2016

Share on Myspace