Perumahan: Kementerian harus fokus 'root cause'

HARAKAHDAILY | .

PAS Selangor mengalu-alukan keprihatinan Tan Sri Noh Omar terhadap kebajikan rakyat Selangor setelah sekian lama menyepi. PAS Selangor juga mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai menteri di Kementerian Kesejahteraan Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kami menyambut baik cadangan beliau untuk mentransformasikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) khususnya di Selangor. Namun, idea ini sebenarnya sudah patut dilaksanakan lebih awal lagi oleh Kerajaan Persekutuan.

Atas dasar keprihatinan, kerajaan negeri tidak mahu mengorbankan keselesaan penduduk, apabila pada tahun 2014 telah memperuntukkan RM7.5 juta untuk membaikpulih dan menaiktaraf PPR Kota Damansara, PPR Kampung Baru Hicom, dan PPR Serendah. Ini tidak termasuk peruntukan skala kecil yang sebenarnya telah diluluskan sejak 2012 lagi.

Projek-projek baik pulih ini amat dinantikan oleh rakyat memandangkan PPR-PPR berusia lebih 10 tahun, dan tidak diselenggara dengan baik pada zaman pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

PAS Selangor agak kecewa apabila seorang bertaraf menteri mengenengahkan idea yang telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Malah, idea yang dicanangkan adalah perkara-perkara yang sememangnya tugas kementerian beliau seperti pembinaan PPR, penyelenggaraan lif dan penyelesaian lokasi pusat sampah. Sekiranya idea beliau diukur dari segi kualiti kerja, ia hanyalah sekadar "meets requirement".

PAS Selangor menggesa beliau agar menghasilkan idea-idea yang "exceed requirement". Beliau seharusnya sudah maklum bahawa salah satu punca masalah perumahan adalah kepadatan penduduk yang tinggi di pantai barat. Kementerian beliau wajib mengkaji taburan kepadatan penduduk Pantai Barat dan Pantai Timur di Semenanjung Malaysia serta pola-pola penghijrahan rakyat.

Daripada pelaksanaan polisi-polisi hasil kajian tersebut, beliau dapat menghasilkan taburan serta permintaan perumahan yang sekata di seluruh Malaysia dan seterusnya mengawal harga perumahan.

Sehingga kini, rakyat masih mendambakan polisi yang sebegini daripada menteri-menteri Umno dan Barisan Nasional. Mungkin Tan Sri Noh Omar dan rakan sejawatnya lebih gemar berbincang dan melihat penyelenggaraan lif, daripada polisi menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Bertunjangkan budaya politik matang dan sejahtera, PAS Selangor menjemput Tan Sri Noh Omar untuk turun ke Negeri Selangor bersama Datuk Iskandar Abd Samad agar kami dapat berkongsi kejayaan program-program Kerajaan Negeri Selangor mungkin program-program ini boleh dimanfaatkan di negeri-negeri yang terajui Barisan Nasional.  

Mohd Prasad Hanif
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor.

Share on Myspace