Kemelut Selangor: Hormati mandat rakyat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menggesa agar semua pimpinan parti politik di negeri itu menghormati status quo ketika ini dan memberi fokus kepada isu kebajikan rakyat sepenuhnya.

Menurut Pengerusi Ikatan Selangor, Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman pada PRU13  yang lalu rakyat telah menyerahkan mandat kepada parti yang mereka pilih maka sudah tentu rakyat inginkan kebajikan dilaksanakan bukannya pertelagahan sesama sendiri.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta agar lebih menumpukan perhatian dalam urus tadbir kerajaan negeri dalam memastikan isu-isu rakyat diselesaikan serta memastikan ekonomi negeri itu terus mantap.

"Ikatan Selangor mengambilkira dengan tersebarnya twitter yang dikaitkan dengan Menteri Besar itu sebagai satu tindakan yang tidak sepatutnya apatah lagi ia dibaca oleh semua pihak.

"Begitu juga dengan pimpinan parti politik yang lain, sebarang kesulitan yang timbul perlu diselesaikan secara perbincangan dan bukannya melalui kenyataan terbuka," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, karenah yang dilakukan pimpinan Pakatan Harapan sebenarnya memberikan banyak keburukan dari kebaikan.

Ikatan Selangor tambahnya, tidak bermaksud untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri tetapi demi hak rakyat negeri ini, Ikatan Selangor bertanggungjawab untuk menegur jika ia dilihat boleh merugikan semua pihak.

Setiap pihak katanya, mempunyai tanggungjawab masing-masing dan peranan itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin, apa yang pasti hak rakyat tentang kebajikan mereka, kemudahan serta ekonomi mereka perlu diutamakan.

Selain itu, tegas beliau semua pihak digesa menghormati sistem Istana dan tidak mengheret Istana dalam kancah politik negeri ini.

"Sebagai sebuah parti dari blok ketiga, Ikatan bersedia untuk berkerjasama dengan kerajaan negeri berbincang dalam sebarang isu sama ada isu pentadbiran, kerjasama parti politik mahupun hak rakyat Selangor," katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2016

Share on Myspace