Kes jenayah: Malaysia sudah jadi negara koboi?

HARAKAHDAILY | .

Foto kesan tembakan pada kereta mangsa semalam yang diviralkan menerusi laman sosial.

Sekali lagi negara dikejutkan dengan kes tembakan di khalayak awam apabila seorang lelaki dilaporkan mati setelah ditembak dari jarak dekat di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, semalam. Mangsa dilaporkan ditembak dengan 18 das tembakan dan 12 daripadanya mengenai sasaran.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersama seluruh masyarakat negara ini melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes-kes jenayah seperti ini. Realitinya, kes tembakan dari jarak dekat dengan menggunakan modus operandi penembak bermotosikal semakin menjadi-jadi di negara ini.

Baru sahaja 6 Julai lepas, seorang wanita mati ditembak dari jarak dekat juga dipercayai oleh dua lelaki menunggang motosikal di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG Jalan Klang Lama, di Kuala Lumpur. Laporan menyebut bahawa ketika kejadian, mangsa yang berusia 32 tahun sedang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire bersama lima orang anaknya yang berusia antara dua hingga 13 tahun serta seorang pembantu rumah.

Terdahulu pada 11 Februari lepas, seorang pengusaha nasi kandar di George Town, Pulau Pinang juga telah ditembak mati oleh dua orang penunggang motosikal. Mangsa sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat ke atas pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada November tahun lalu. Dalam kejadian berkenaan, mangsa ditembak dengan enam das tembakan di mana lima daripadanya mengenai sasaran.

Hakikatnya, modus ini telah lama menjadi amalan di kalangan penjenayah yang bertanggungjawab melakukan ‘operasi bunuh’ ini. Tiga tahun lepas pada 25 April 2013, seorang pemuda berusia 39 tahun juga ditembak oleh penunggang motosikal berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan. Ia disusuli pula pada 14 Julai tahun yang sama dengan kejadian tembak jarak dekat di Butterworth di mana seorang remaja berumur 19 tahun ditembak tiga das di rusuk kiri oleh dua orang suspek yang menunggang motosikal.

Bahkan modus seperti ini juga pernah digunakan untuk membunuh ahli politik. Negara masih mengingati bagaimana Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Kedah, Dr Joe Fernandez ditembak mati oleh penunggang motosikal sewaktu terperangkap dalam kesesakan lalulintas pada 4 November 2000.

Ini hanyalah rentetan kecil sahaja dari puluhan bahkan mungkin ratusan jenayah tembak jarak dekat yang dilakukan menggunakan modus operandi yang sama. Sebahagian besar kes berkenaan masih berada dalam siasatan di mana suspek yang bertanggungjawab masih gagal dibawa ke muka pengadilan.

DPPM mempersoalkan apakah langkah-langkah pro aktif yang telah diambil oleh pihak kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam menangani kes-kes seperti ini. Adakah negara ini sudah menjadi negara koboi di mana jenayah boleh dilakukan di khalayak ramai tanpa bimbang apa-apa tindakan terhadap pelaku?
 
Bagaimanakah peluru dan senjata api boleh lolos dengan begitu mudah dan digunakan secara meluas oleh penjenayah? Apakah ia berpunca dari kelemahan pengawalan di sempadan negara sehingga mengakibatkan senjata api mudah diseludupi dengan berleluasa?

Perlulah ditegaskan bahawa atas apa jua alasan konflik dan pertelingkahan sekalipun, keadilan wajiblah ditegakkan di mahkamah dan bukannya melalui muncung pistol di jalanraya.

DPPM merakamkan simpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat di samping menasihati masyarakat agar menghindari gaya hidup yang boleh mendedahkan diri kepada perbuatan jenayah seperti ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
28 Julai 2016 | 23 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 28/7/2016

Share on Myspace