Pemuda Umno sokong membawa rebah

USTAZ IDRIS AHMAD | .

KETIKA isu pendedahan DOJ dibincang dengan hangat, tiba-tiba satu laporan polis oleh Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun, menuduh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Gebenor Bank Negara, Tan Sri  Zeti Akhtar Aziz terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara tuduhanya mengatakan mereka memberi maklumat palsu kepada agensi di negara Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI).


Ini petanda sokong membawa rebah. Kalau pun hendak mengampu jangan terlajak sangat. Kalau hendak jack kereta, jangan jack tinggi sangat, nanti terbalik kereta.

Menamakan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz terlibat menambahkan bahan ketawa masyarakat di negara ini dan dunia. Beliau terkenal dengan perkhidmatan cemerlang dan mempunyai integriti yang tinggi di peringkat dunia.

Satu sudut yang lain bagus juga tuduhan ini. Apabila dibawa ke mahkamah akan terbongkar banyak perkara yang menjadi rahsia selama ini.

Saya yakin ketiga-tiga mereka ini berani tampil kehadapan jika itu yang diminta oleh pihak mahkamah.

Kenapa perlu jolok sarang tebuan. Mereka pegawai kerajaan, apabila berhenti daripada berkhidmat hendak bermain dengan anak cucu sahaja. Tidak mahu berserabut dengan masalah lain.

Tiba-tiba tuduhan terhadap mereka dibuat. Walaupun mereka berhenti dengan penuh misteri dan menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Apakah akan terbongkar banyak perkara apabila mereka menjawab tuduhan yang berat  di dalam mahkamah nanti. Sama-sama kita tunggu episod seterusnya. - HARAKAHDAILY 28/7/2016

Share on Myspace