Konspirasi peringkat tertinggi: Fokus isu utama

HARAKAHDAILY | .

Pemuda Umno Malaysia tidak seharusnya mengalihkan isu utama dengan mengheret tiga tokoh utama negara dengan dakwaan wujud konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri dalam skandal kewangan 1MDB.

Dakwaan berkaitan skandal kewangan 1MDB sangat berat, oleh sebab itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) tidak mahu Pemuda Umno sewenang-wenangnya menimbulkan persepsi baru untuk mengaburi isu dan suspek sebenar, sedangkan kira-kira lapan buah negara luar sedang menyiasat skandal kewangan 1MDB sehingga menjejaskan reputasi politik dan ekonomi negara.

Rakyat telah sedia maklum bawah Bank Negara Malaysia, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah entiti yang bertanggungjawab melakukan penyiasatan awal terhadap kes ini, tetapi hasil laporan mereka entah ke mana.

Malah, dua tokoh yang didakwa telah ‘bersara’ dan seorang lagi bakal ‘menamatkan perkhidmatannya’.

DPPM juga tidak menolak kemungkinan sebelum skandal kewangan 1MDB diselesaikan, tiga tokoh tersebut boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA). Penangkapan dan penahanan boleh dilakukan oleh pihak polis tanpa waran sehingga 28 hari.

Banyak klu yang masih samar. Laporan-laporan rasmi tidak didedahkan malah laporan audit berkaitan 1MDB pula telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Oleh itu, adalah lebih bijak sekiranya Pemuda Umno turut sama menggesa untuk mewujudkan terlebih dahulu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dianggotai oleh mereka yang tidak berkepentingan untuk menyiasat skandal kewangan 1MDB ini.

DPPM menegaskan dengan sekeras-kerasnya agar ‘kleptocracy’ mesti dihentikan dan ‘damages’ negara mesti dipulihkan!   

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
28 Julai 2016 | 23 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 28/7/2016

Share on Myspace