Sejarah: PAS seru ahli pertahan dasar Islam

HARAKAHDAILY | .

PAS SERU AHLI PERTAHAN DASAR ISLAM DALAM MENGHADAPI PERUBAHAN POLITIK (28 JULAI 1972)

PADA hari ini dalam tahun 1972, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah mempertegaskan kepentingan PAS mempertahankan ketulenan dasar perjuangannya dalam menghadapi perubahan politik pasca 13 Mei 1969.

Yang Dipertua Agung PAS itu berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini diadakan dalam suasana politik yang bergolak selepas tragedi perkauman 1969.

Suasana politik negara telah mengalami perubahan yang besar ekoran tragedi 13 Mei 1969 ini di mana orang-orang Cina yang menguasai politik di Pulau Pinang, Perak dan Selangor menerusi DAP dan Gerakan telah melakukan perarakan politik selepas Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 yang berakhir dengan tragedi berdarah. Berlanjutan dari itu, seluruh kegiatan politik telah digantung menerusi perisytiharan darurat sehingga 1 September 1970.

Dalam suasana politik ini, Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein telah menawarkan kepada PAS untuk membentuk kerajaan campuran bagi menjamin kelangsungan politik Melayu. Dalam ucapannya pada 29 Jun 1972 sempena Perhimpunan Agung Umno, Tun Abdul Razak meluahkan hasrat untuk membentuk campuran dengan PAS.

Bertolak dari persoalan ini, Dato' Mohd Asri menjelaskan bahawa PAS telah banyak melalui ujian politik, tetapi tetap dapat bertahan "meneruskan jihad, tidak lain dan tidak bukan yang menjadi sebabnya ialah aqidah perjuangan".

Menurut Dato' Mohd Asri, PAS berjuangan melalui politik pilihan raya adalah untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Dalam konteks ini, "Islam adalah darah dan daging, hidup dan mati, dunia dan akhirat" bagi PAS. "Dasar politik selain dari Islam adalah batil," dan setiap ahli PAS berkewajipan mempertahan ketulenan dasar Islam PAS kerana ia menjadi "garis pemisah antara pihak kita (PAS) dengan pihak yang bukan kita".

Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang disampai pada 28 Julai 1972 ini adalah satu penekanan yang penting kepada ahli-ahli dalam menghadapi perubahan politik yang sedang berlaku, terutama dalam PAS mengadakan kerjasama politik dengan Perikatan.

Fokus utama PAS adalah supaya ahli-ahli dapat mempertahankan wala' mereka kepada Allah dan Rasul, ketika PAS sedang mengambil strategi baru untuk memperkukuhkan politik Melayu Islam di Malaysia. Ahli-ahli diseru mempertahan dasar Islam, termasuk tidak mengambil ringan soal hubungan dengan Umno yang boleh menghakis ketulenan dasar PAS.

Perbezaan dasar antara PAS dan Umno akan menjadi cabaran penting dalam pembentukan campuran antara PAS dan Perikatan. Perbezaan dasar ini menyebabkan PAS tidak akan bergabung dengan Umno. "PAS dengan dasar perjuangannya tidak akan dapat sama sekali bergabung dengan Umno atau berikat dengan Perikatan sebagai satu parti."

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 28/7/2016

Share on Myspace