PRU14: Perubahan di tangan pengundi bawah 50 tahun

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyeru seluruh rakyat khususnya para pengundi di bawah usia 50 tahun agar berani membuat perubahan kepimpinan negeri dan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata majoriti pengundi pada PRU14 akan datang adalah pengundi di bawah usia 50 tahun.

Menurutnya, rakyat sendiri yang akan menentukan kepimpinan dan masa depan negeri serta negara ini.

Justeru, katanya usia pengundi bawah 50 tahun merupakan golongan yang bermaklumat serta mengikuti perkembangan politik semasa melalui media baharu.

“Sebenarnya, rakyat sendiri yang akan menentukan kepimpinan dan masa depan pemerintahan negeri Terengganu ini.

“Tuan-tuan dan puan-puan yang akan menentukan. Sebab, majoriti pengundi akan datang berusia 50 tahun ke bawah. Mereka ini lebih bermaklumat dan mereka yang menggunakan media baharu, facebook, twitter, whatspp dan sebagainya.

“Mereka dapat maklumat dengan lebih cepat. Mereka inilah yang bakal menentukan siapa yang sebenarnya akan memimpin negeri Terengganu mahu pun kerajaan Malaysia.

“Sebab itu, kita mengharapkan maklumat-maklumat, kefahaman dan penjelasan ini (disebar) supaya generasi baru ini lebih bermaklumat dan boleh membuat pilihan yang terbaik dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang, yang akan meletakkan tanggungjawab bagi menjaga dan memenuhi keperluan rakyat di negeri ini sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di  sini, semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Pengerusi Lajnah Guaman PAS Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Pengerusi DHPP negeri, Dr Bala Chandran Gopal Krisnan, pemangku Ketua Muslimat PAS negeri.

Sambutan rumah terbuka PAS Terengganu itu juga turut dihadiri oleh Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ustaz Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka menegaskan perubahan yang perlu dilakukan itu bagi memberi manfaat besar kepada rakyat berbilang agama dan bangsa. - HARAKAHDAILY 29/7/2016

Share on Myspace