Kenyataan Jazlan tak logik, jadi bahan ketawa

AHMAD FADHLI SHAARI | .

Kenyataan Datuk Jazlan ini sangat-sangat tidak logik dan mengundang bahan ketawa. Sejak bila pula Dun Kelantan terumbang-ambing? Masih belum ada lagi Adun Kelantan mengusulkan usul tidak percaya kepada kerajaan negeri seperti Terengganu.

Jika Dun Kelantan dikatakan perlu dibubar semata-mata khabar angin Adun hilang kepercayaan, apa cerita pula di Terengganu? Bahkan kerajaan Pusat lebih bergolak jika dibanding dengan Kelantan.

Perdana Menteri menggugurkan timbalannya sendiri diikuti dengan Umno mengumumkan pemecatan Timbalan Presidennya yang dipilih oleh perwakilan. Adakah Parlimen Malaysia juga wajib dibubar? Dan adakah Kedah yang bertukar Menteri Besarnya juga wajib dibubar?

Seluruh mata memandang kepada Pulau Pinang, tiba-tiba Jazlan mengalihkan kepada Kelantan. Saya ingin tanya, kenyataan Jazlan ini sudah mendapat lampu hijau dari Pengerusi Perhubungan Umno Kelantankah? Atau Jazlan tidak sabar-sabar untuk bertanding Dun? Elok juga Jazlan bertanding di mana-mana Dun di Machang yang ketiga-tiga Dun di dalam parlimen tersebut dimenangi oleh PAS.

Saya juga berhak mencadang, semenjak Datuk Jazlan dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Bandar, apa kejayaan yang dicapai? Apa status MARA yang disiasat akibat pembelian hartanah di Australia, sehingga sekarang rakyat tertanya-tanya. Tidakkah Mara agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah? Apa peranan Jazlan ke arah memastikan pembinaan lebuh raya Kelantan berjalan mengikut jadual? Atau kenalkah Datuk Jazlan dengan individu yang mencadangkan dan mengenakan tekanan kepada Jambatan Kedua Sdn Bhd untuk memperlahankan pembinaan lebuh raya kerajaan negeri Kelantan semata-mata bimbang ia memberikan merit kepada kerajaan negeri? Sampai masanya cerita ini boleh dibongkar satu persatu.

Jaga diri lebih baik dari membuat kenyataan yang mengarut, atau Datuk Jazlan boleh letak jawatan Timbalan Menteri dan menjadi usahawan Daun Ketum. - HARAKAHDAILY 29/7/2016

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Share on Myspace