Nama PAS ditukar kepada Parti Islam Se-Malaysia

HARAKAHDAILY | .

NAMA PAS DITUKAR KEPADA PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (29 JULAI 1972)

PADA hari ini dalam tahun 1972, PAS telah menukar namanya dari Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sesuai dengan perubahan politik selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan juga kesan dari tragedi berdarah 13 Mei 1969. Pertukaran nama PAS kepada nama baru ini merupakan salah satu daripada pindaan yang dibuat ke atas Perlembagaan PAS (Pindaan) 1963. Pindaan ini diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ketika PAS ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, ia dinamakan sebagai Persatuan Ulamak Malaya. Tetapi dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya yang menggubal Undang-undang Tubuh Persatuan ini pada 24 November 1951, tujuh nama telah dicadangkan antaranya Persatuan Ulamak Umno, Persatuan Muslimin Tanah Air (PERMATA), Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA), Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Nahdatul Ulama Malaya (NAIM). Nama Persatuan Islam Se-Malaya yang asalnya dicadangkan oleh Ustaz Othman Hamzah, wakil Persatuan Ihya as-Syariff telah dicadangkan semula oleh Ustaz Mohd Ma'sum dari Jemaah Masjid Telaga Air, Seberang Perai dan terpilih sebagai nama rasmi bagi persatuan ini ketika ia ditubuhkan. Nama ini kemudiannya didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 31 Mei 1955.

Dengan nama Persatuan Islam Se-Malaya yang didaftarkan ini, pihak pendaftar telah menterjemahkan nama PAS dalam bahasa Inggeris sebagai "Pan-Malayan Islamic Party (PMIP)". Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Mei 1956 telah memutuskan untuk menggunakan terjemahan "Islamic Party of Malaya" sebagai nama rasmi PAS dalam bahasa Inggeris dengan menggugurkan perkataan "PAN" pada nama yang diterjemahkan oleh pentadbir British ketika itu. Dengan itu, nama rasmi PAS ialah Persatuan Islam Se-Malaya dalam Bahasa Melayu dan Islamic Party of Malaya dalam bahasa Inggeris.

Selepas Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 pada 31 Disember 1962 hingga 2 Januari 1963, telah menukar nama PAS atas cadangan Profesor Zulkifli Mohamad kepada nama baru, iaitu Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). PAS berpandangan perkataan Malaya adalah berbau penjajah dan ia harus digantikan, sedangkan nama Tanah Melayu bukan sahaja nama asal bagi negara ini, tetapi juga lebih bersifat dan berjiwa tempatan yang merdeka. Namun begitu, pada 16 September 1963, telah berlaku perubahan politik ekoran penubuhan Malaysia dan semua kegiatan politik adalah bersifat ke-Malaysiaan.

Dalam suasana politik yang bergolak dan berbau perkauman pasca penubuhan Malaysia, telah tercetus tragedi 13 Mei 1969. Antara tuduhan yang dikaitkan kepada PAS ialah menyalahgunakan agama dan memperjuangkan perkauman Melayu kerana perjuangan PAS menubuhkan Melayu Raya untuk menegakkan negara Islam. Peguam Negara telah memberi isyarat kepada PAS untuk mengubah namanya selepas tragedi ini ketika negara di bawah pentadbiran Mageran.

Selepas darurat ditamatkan pada 1 September 1970, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 telah memutuskan untuk menukar nama PAS kepada "Parti Islam" tetapi kekal dengan akronim PAS. Namun begitu, nama tersebut telah ditolak oleh RoS atas alasan nama tersebut tidak merujuk kepada mana-mana kawasan dan seolah-olah umat Islam di seluruh dunia boleh menyertainya. Ekoran keputusan RoS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk membawa cadangan nama baru kepada mesyuarat agung tahun berikutnya. Pada 29 Julai 1972, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 kemudiannya telah bersetuju supaya nama PAS ditukar dari Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kepada Parti Islam Se-Malaysia. Nama ini terus kekal digunakan sehingga hari ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 29/7/2016

Share on Myspace