Sejarah: Muktamar cadang PAS keluar BN

HARAKAHDAILY | .

MUKTAMAR CADANG PAS KELUAR BN JIKA TIDAK DIHORMATI RAKAN PAKATAN (30 JULAI 1975)

PADA hari ini dalam tahun 1975, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-21 telah mencadangkan supaya PAS menarik diri dari Barisan Nasional (BN) jika rakan-rakan BN tidak menghormati PAS sebagai anggota BN. Selepas Pilihan Raya Umum 1974, PAS menuntut tambahan beberapa kerusi kabinet di samping mendesak perlaksanaan syariat dalam pemerintahan, sedangkan dalam pentadbiran kerajaan di peringkat bawah terdapat rungutan meluas bahawa Umno tidak menghormati PAS sebagai anggota BN. Dalam tempoh yang singkat selepas BN ditubuhkan, Pejabat Agung PAS telah menerima aduan yang bertubi-tubi dari ahli PAS berkait masalah hubungan dengan Umno.

PAS yang membentuk hubungan dengan Umno melalui penubuhan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, telah terlibat mengasaskan BN pada 1 Jun 1974 sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Ketika merundingkan pembahagian kerusi dalam pilihan raya ini, Umno hanya memperuntukkan 14 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN, sedangkan Umno mendapat masing-masing 61 dan 170 kerusi. Ahli-ahli PAS mempersoalkan sikap Umno yang menghormati peranan PAS dalam memperkukuhkan semula politik orang Melayu selepas tragedi 13 Mei 1969. Kesediaan PAS untuk menerima Umno sebagai sekutunya dianggap satu pengorbanan politik yang besar oleh PAS untuk menstabilkan semula politik negara.

Selepas Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974, PAS telah menuntut tambahan kerusi kabinet, tetapi hanya mendapat satu jawatan menteri, dua timbalan menteri dan satu setiausaha parlimen, sedangkan PAS pernah menuntut jawatan timbalan perdana menteri kedua. Sasaran PAS untuk melaksanakan syariat dalam pemerintahan juga kurang mendapat perhatian kerajaan, walaupun PAS telah cuba menerapkan Islam dalam pentadbiran. Sejak 24 April 1973, PAS telah membangkitkan isu perlaksanaan syariat di Dewan Rakyat dan mendesak kerajaan menjadikan ia sebagai satu agenda besar BN. Pada 8 April 1975, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah untuk mengatasi ketidakpuasan hati ahli-ahlinya, termasuk membawa isu ini Mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung Parti Komponen BN.

Ketika PAS mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-21 pada 29-30 Julai 1975, suara-suara tidak berpuas hati terhadap kerjasama BN telah kedengaran. Isu-isu agihan kerusi dalam pilihan raya, layanan tidak wajar Umno terhadap PAS, kedudukan politik orang Melayu serta kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Dato' Haji Hassan Adli Mohd Arshad telah mengemukakan 'Minority Report' kepada Muktamar Tahunan PAS sebagai penilaian terhadap penglibatan PAS dalam kerajaan. Berasaskan isu-isu yang berbangkit, Muktamar Tahunan PAS dalam menilai hasil penglibatan PAS dalam BN dan penghormatan Umno sebagai komponen penting BN, telah mencadangkan supaya PAS sahaja daripada BN jika berterusan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
30 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 30/7/2016

Share on Myspace