Darjat manusia melalui ujian Allah

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Setiap kita ada darjat masing-masing di sisi Allah. Darjat kita itu Allah yang tentukan dengan kehendak-Nya. Allah maha tahu dan maha adil di dalam menentukan darjat para hamba-Nya.

Di dunia manusia hidup berdarjat dengan sebab musabab yang telah diterima dalam kehidupan. Orang berilmu berbeza darjat daripada orang jahil. Begitulah perbezaan darjat yang bertingkat-tingkat di antara orang kaya dan miskin, senang dan susah, rajin dan malas, cantik dan hodoh dan sebagainya.

Begitulah juga di akhirat nanti. Allah yang mencipta darjat di dunia, Dia-lah juga yang menciptakan darjat di akhirat nanti. Bukan sahaja darjat di antara syurga dan neraka, bahkan syurga dan neraka masing-masing ada darjat di antara sesama ahlinya. Beribu-beribu darjat yang saling berbeza kedudukannya.

Cuma ada perbezaan yang nyata di antara darjat di dunia dan darjat di akhirat. Darjat di dunia terganggu oleh kezaliman, kepalsuan dan kekurangan, manakala darjat di akhirat adalah benar, adil dan penuh kelebihan. Sememangnya dunia dan akhirat diciptakan dengan ciri-ciri yang cukup berbeza. Satunya adalah bersifat tipu daya dan mainan, manakala satu lagi adalah bersifat benar dan hakiki. Justeru tidak sama timbangan di dalam penentuan darjat di antara dunia dan akhirat.

Di dunia, orang jahil boleh menduduki darjat orang berilmu dengan membeli sijil ilmu. Orang miskin boleh menduduki darjat orang kaya dengan merompak dan mencuri. Orang biasa boleh jadi pemimpin dengan menipu, mengampu dan mengkhianati. Begitulah darjat di dunia. Ia boleh dibuat-buat, dipinda dan diperolehi secara tidak benar.

Ada pun di akhirat, ia bukan bikinan manusia lagi. Ia darjat yang sepenuhnya milik Allah. Dia-lah yang menentukan kedudukan dan darjat setiap manusia ketika itu. Sekumpulan berdarjat di syurga manakala sekumpulan lagi berdarjat di neraka yang membakar.

Darjat di akhirat adalah berdasarkan kehidupan manusia di dunia. Akhirat adalah hari pemarkahan dan penganugerahan. Apa yang ditanam di dunia, itulah yang dituai oleh manusia di akhirat nanti. Allah adalah maha adil di dalam menilai dan menghitung apa yang dilakukan oleh manusia samada amal baik atau pun buruk.

Oleh kerana di dunia ini darjat manusia dikelabui oleh penipuan dan kejahatan, maka sudah pasti ia mungkin saja terbalik di akhirat nanti. Yang mulia di dunia boleh jadi hina di akhirat. Yang miskin di dunia boleh jadi kaya di akhirat. Begitulah seterusnya. Tetapi boleh jadi juga bahawa yang mulia di dunia, dia juga mulia di akhirat. Begitulah sebaliknya.

Maka sudah pasti manusia di dunia tidak dapat mengukur dan menduga nasibnya di akhirat nanti. Neraca di dunianya tak sama dengan neraca Allah di akhirat nanti.

Secara mudahnya, manusia menghukum sesuatu pada zahirnya, manakala Allah menghukum pada batinnya atau yang terbuku di hatinya. Manusia itu zahir dan batin boleh tidak sama pada satu ketika dan sama pada ketika yang lain. Ia berubah-rubah dengan kehendak mereka sendiri.

Ada manusia yang pakaiannya lusuh dan tak terurus tetapi hatinya bersih dan terurus. Ada manusia, pakaiannya bersih dan penampilannya segak sekali, tetapi dialah perasuah dan penzalim. Maka di dunia, yang berpakaian lusuh itu dikira hina manakala yang bergaya segak itu dikira mulia. Begitulah manusia menghukum.

Manusia bukan tidak tahu bahawa yang batin itulah yang sebenar dan mesti dikira. Tetapi apakan daya, manusia gagal meneroka isi hati yang tersimpan jauh di dalam lubuk diri manusia. Jika dibelah hati jantung sekali pun, manusia tidak akan dapat mengetahui isi hati yang sebenar. Ia adalah rahsia tuannya yang tak terkongsi oleh sesiapa pun.

Hanya yang berkongsi dengan manusia adalah Allah. Allah mengetahui zahir dan batin manusia kerana Dia-lah yang menciptakan kedua-duanya. Sudah pasti Allah lebih tahu daripada empunya badan itu sendiri.

Oleh kerana manusia cukup tahu bahawa keadilan yang mereka tuntut di saat penghukuman sesama mereka mungkin saja cacat dan tidak tercapai akibat kegagalan mereka membuktikan isi hati sebenar yang batin sifatnya, maka manusia sendiri terpaksa akur bahawa kadang-kadang mereka telah bertindak salah dan zalim secara tidak sengaja. Tetapi tiada lagi daya dan upaya mereka untuk membaikinya kepada keadilan sebenar.

Maka manusia sendiri akhirnya terpaksa akur bahawa mereka gagal untuk mencapai puncak keadilan yang hakiki. Mereka pasrah bahawa mereka hanya mampu dilihat adil pada zahirnya sahaja.

Di sinilah hadirnya kebenaran darjat di akhirat. Ia darjat yang ukuran dan pemarkahannya adalah berdasarkan hakikat yang tersembunyi di dalam diri manusia. Manusia yang mengenal diri masing-masing akan tahu nanti bahawa di darjat mana mereka berada di akhirat nanti, ia adalah benar belaka. Mereka cukup tahu bahawa hukuman dan ketentuan Allah ke atas mereka adalah benar sekali. Ia adalah hukuman setimpal dan sepadan dengan amalan zahir yang bersumber daripada hati mereka sendiri.

Keadaan di dunia amat kalut sekali. Campur baur dan kesamaran di antara benar dan salah, adil dan zalim serta baik dan buruk amat menakutkan dan begitu menekan rasa. Manusia yang hatinya mendambakan darjat yang tinggi di akhirat nanti adalah manusia yang paling takut, rimas dan gelisah hidup di dunia.

Mereka takut ditipu oleh dunia yang memang ciri asasnya adalah menipu daya manusia. Mereka bimbang amalan mereka ditolak oleh Allah akibat kesalahan di dalam menentukan di antara yang benar dan yang salah.

Adakah Allah akan membiarkan para hamba-Nya hidup dalam ketakutan, tanpa petunjuk dan panduan yang menenangkan hati mereka? Sudah pasti tidak bukan? Bagaimana dibayangkan Allah akan membiarkan hamba-Nya di dunia di dalam keluh kesah?

Apabila anda memahami ini, maka mari kita melihat bagaimana Allah menetapkan satu lagi sunnah atau ketetapan yang mesti berlaku di dalam kehidupan di dunia ini. Ia adalah sunnah ujian atau pemisahan di antara orang yang dipilih-Nya untuk akhirat dan orang yang dipilih-Nya untuk dunia sahaja.

Allah tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dengan-Nya berada dalam satu keadaan yang sama dengan orang-orang yang dimurkai-Nya. Allah memisahkan di antara mereka agar jelas di sisi orang-orang beriman jalan yang mereka mesti lalui di dunia untul menuju akhirat tanpa samar-samar dan ragu-ragu lagi.

Maka anda melihat berlakunya pemisahan di antara individu melalui ujian yang sengaja diciptakan oleh Allah ke atas mereka. Berlaku pemisahan di antara keluarga, kelompok masyarakat, bangsa dan negara melalui ujian yang diciptakan Allah bagi memisahkan hamba-hamba-Nya yang dikasihi daripada yang dimurkainya.

Di sisi manusia beriman, di dunia ini ada dua pemisahan darjat yang sedang beraksi di mana-mana dan pada setiap masa.

Pertama, pemisahan di antara darjat yang zahir akibat perebutan kedudukan duniawi. Kedua, pemisahan di antara darjat yang sebenar yang melibatkan perlumbaan menuju darjat di akhirat nanti.

Pemisahan yang kedua itulah yang sentiasa diperhatikan oleh setiap hamba yang beriman. Adapun orang yang memilih kehidupan duniawi, mereka begitu asyik dengan mengejar darjat duniawi sehingga terlupa perlumbaan sebenar menuju darjat akhirat.

Berbahagialah orang-orang yang terus istiqamah, tidak rebah di saat pelbagai ujian yang didatangkan oleh Allah yang bertujuan memisahkan hamba-Nya yang benar daripada yang bohong, yang beriman daripada yang kufur dan yang sabar daripada yang gelojoh. - HARAKAHDAILY 31/7/2016

Share on Myspace