PAS sertai himpunan mansuhkan ISA

HARAKAHDAILY | .

PAS SERTAI HIMPUNAN MANSUHKAN ISA (1 OGOS 2009)

PADA hari ini dalam tahun 2009, PAS menyertai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk mengadakan himpunan bagi membantah penyalahgunaan ISA oleh Kerajaan BN dengan menahan musuh-musuh politik mereka tanpa bicara. Tujuan utama himpunan Mansuh ISA ini adalah untuk mendesak Kerajaan BN memansuhkan ISA, membebaskan semua tahanan ISA dan menutup kem tahanan ISA di Kamunting, Perak. Penganjur himpunan ini, GMI telah mensasarkan penyertaan seramai 100,000 demonstran untuk berarak dan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Selain gabungan GMI, perhimpunan ini turut disertai oleh parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP, selain NGO-NGO hak asasi manusia. Mereka merancang untuk berhimpun di Masjid Jamek Kuala Lumpur, Kompleks Sogo, KL Sentral dan Masjid Negara, sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum. Rancangan GMI ini telah mendapat tindak balas beberapa NGO pro kerajaan, Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris), Perkasa dan 10 NGO lain telah merancang untuk membuat himpunan pada hari yang sama bagi menyokong ISA. Mereka mengatur untuk berhimpun di Padang Merbuk, Masjid Negara dan Pasar Seni sebelum bergerak ke Dataran Merdeka dan menyerahkan memorandum menyokong ISA di Istana Negara.

Disebabkan tindakan NGO pro kerajaan tersebut, pihak polis pada 28 Julai 2009 telah mengumumkan untuk tidak mengeluarkan permit kepada kedua-dua pihak untuk mengelakkan pertembungan dan pergeseran. Pihak polis juga mengumumkan untuk sekatan jalan raya dan menahan sesiapa yang terlibat dengan perhimpunan ini, yang menyebabkan Pewaris dan Perkasa membatalkan himpunan mereka, tetapi GMI meneruskan himpunan ini. Dalam himpunan pada 1 Ogos 2009 ini, seramai 10,000 demonstran telah menyertainya, termasuk para pemimpin utama Pakatan Rakyat. Seramai 549 lelaki dan 40 wanita telah ditahan di bawah Akta Polis kerana menyertai perhimpunan ini.

Sebagai menyatakan sokongan kepada Himpunan Mansuhkan ISA dan tanda komitmen PAS untuk menentang ISA, pada 15 Julai 2009, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad telah mengeluarkan arahan kepada seluruh ahli PAS supaya turun dalam himpunan pada 1 Ogos 2009 untuk membantah ISA. PAS juga telah menganjurkan ceramah dan mengedarkan risalah tentang kezaliman ISA di seluruh negara untuk membentuk kesedaran rakyat terhadap isu kezaliman ISA. Hasil dari sokongan PAS terhadap Himpunan Mansuh ISA ini, pada 1 Ogos 2009, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah berjanji bahawa kerajaan akan mengkaji semula ISA sama ada ia patut dimansuhkan atau sebaliknya.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 1/8/2016

Share on Myspace