LPT2 lengang selepas tol berkuatkuasa

HARAKAHDAILY | .

GANTI sebelum ini telah buat kenyataan media tentang ketidakwajaran tol dikenakan di LPT2. Selepas itu, isu ini hangat diperkatakan dan dipaparkan dalam media arus perdana. Kenyataan orang politik sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan, NGO-NGO serta orang perseorangan diketengahkan.

Tetapi sebaik sahaja Menteri Besar Terengganu membuat kenyataan rayuan supaya kerajaan pusat mengkaji kadar tol LPT2, isu ini seolah-olah disejukbekukan. Barangkali penyejukbekuan isu ini sesuai dengan keadaan LPT2 sekarang yang terlalu lengang kerana pengguna lebuh raya beralih ke laluan Jerangau-Jabor dan laluan pantai.

Kerajaan negeri dan pusat harus prihatin keadaan ini. Rakyat seolah-olah memberi signal yang jelas bahawa tol yang dikenakan sangat membebankan. Perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkan keadaan ini ialah RAKYAT MEMBOIKOT PENGUATKUASAAN TOL DI LPT2.

Tinjauan rambang GANTI terhadap pandangan pengguna lebuh raya LPT2 mendapati memang mereka memboikot LPT2 setelah diumumkan tol berkuatkuasa. Tidak kurang yang mengaku bahawa mereka tidak pernah sekalipun menggunakan LPT2 semenjak tol dikenakan.

Saya juga mendapat maklumat bahawa sehingga kenyataan ini ditulis, Majlis Mesyuarat  Exco Kerajaan Negeri Terengganu belum membincangkan lagi rayuan Encik Ahmad Razif selaku Menteri Besar Terengganu kepada kerajaan pusat berkenaan kadar tol. Saya kira ini gambaran jelas bahawa Razif hanya bermain kata dan cuba menjadi hero dalam isu ini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau prihatin terhadap nasib rakyat, padahal tidak ada satu pun  tindakan konkrit pun dibuat. Saya kira tindakan Razif itu tidak menggambarkan rakyat Terengganu berhak ke atas kemudahan awam yang lebih baik dan percuma hasil dari pendapatan royalti minyak selama berpuluh tahun dari bumi Darul Iman ini.

Kesimpulannnya, Razif dan Umno Barisan Nasional harus diganti ke arah mewujudkan Terengganu sejahtera dan lebih bermaruah.

AMAR MA'ARUF NAHI MUNKAR

Wan Mohd Faizul Wan Abas
Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
1 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 1/8/2016

Share on Myspace