PMIUM sahut saranan jangan kongkong mahasiswa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menzahirkan sokongan terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan saranan ke atas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mahasiswa yang menyuarakan kritikan terhadap kerajaan.

Beliau yang dilaporkan Berita Harian 27 Julai lalu berkata bahawa kongkongan dan sekatan bukanlah satu metodologi yang terbaik bagi mendidik mahasiswa, sebaliknya memberi panduan bagi mengasah idealisme dan kepemimpinan generasi pelapis masa depan.
 
Timbalan Presiden PMIUM, Anis Syafikah yakin sikap kritikal mahasiswa terhadap kerajaan bukanlah bermaksud mahasiswa membenci kerajaan atau menyebelahi pembangkang, tetapi mahasiswa mahu berpartisipasi dalam mencorak hala tuju negara.

"Apa juga aksi yang dilakukan mahasiswa merupakan tindak balas, sebagai tanda kami cakna dan prihatin dengan perkembangan semasa," ujarnya.
 
PMIUM juga, katanya mengharapkan agar saranan Timbalan Perdana Menteri ini disambut oleh semua kepimpinan universiti agar tidak ada lagi pentadbir universiti yang menjadi musuh kepada hak kebebasan mahasiswa untuk beraktivisme.

Realitinya, ujar beliau tidak kurang daripada 30 mahasiswa dihukum oleh AUKU pada tahun 2015 hanya kerana terlibat dengan aktivisme dalam dan luar kampus.
 
Terbaru, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan pihak UM tidak menjalankan pebicaraan yang adil terhadap 8 mahasiswa UM (UM8) yang telah dihukum kerana mengajurkan Pidato Anwar Ibrahim dalam UM pada Oktober 2014.
 
Tambahnya, Zahid perlu ikhlas dalam mempertahankan hak mahasiswa tanpa dibataskan dengan sempadan politik.

"PMIUM percaya, dengan latar sejarah perjuangan Timbalan Perdana Menteri, beliau semestinya memahami bahawa perjuangan mahasiswa bebas daripada sebarang kepentingan dan tidak dicemari dengan agenda politik sempit," katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya Kerajaan sewajarnya bersikap adaptif dengan aktivisme mahasiswa dan bukannya prejudis.
 
"PMIUM berharap agar lebih ramai kepimpinan Kerajaan akan berminda seperti Timbalan Perdana Menteri dalam menanggapi aktivisme mahasiswa," ujarnya. - HARAKAHDAILY 1/8/2016

Share on Myspace