Usah terburu-buru buat pilihan raya negeri

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: PAS menyambut baik keputusan kerajaan Pulau Pinang membatal hasrat mengadakan pilihanraya negeri (PRN) ekoran Ketua Menterinya Lim Guan Geng berdepan kes di mahkamah.

Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, PRN itu tidak boleh dilakukan terburu-buru, sebaliknya perlu perancangan rapi.

“Kita buat pilihan raya untuk sesuatu tujuan, untuk rakyat contohnya.

“Kita masih ada masa sekarang, jadi gunalah waktu yang ada untuk kepentingan rakyat,” katanya selepas merasmikan Seminar Hadis Nabawi Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak hari ini.

Ketua Menteri Pulai Pinang semalam membuat kenyataan tidak akan mengadakan PRN. Guan Eng dilapor memberitahu tidak bersetuju cadangan PKR mendapat kerusi tambahan.

Setiausaha Agung DAP itu didakwa di mahkamah terhadap tuduhan rasuah membabitkan penyalahgunan kuasa berhubung isu permohonan pengezonan semula status tanah dan pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata amat wajar peluang diberi menghabiskan penggal sekarang sebaik mungkin.

“Saya tidak mahu komen lanjut tetapi bagi saya itu keputusan yang terbaik, lagi pun kos pilihan raya besar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/8/2016

Share on Myspace