Pembangkang perlu fokus satu lawan satu

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ketika Umno berdepan kemelut dalaman yang semakin kronik, pembangkang pula perlu mempertahankan status quo seperti pilihan raya umum (PRU) lepas.

Kejayaan PRU 2008 dan 2013 tanpa pertembungan tiga penjuru membolehkan pembangkang bertembung satu lawan satu Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata perlu ada 'under standing' kalangan pembangkang seperti yang berlaku sebelum ini dalam misi menafikan penguasaan BN.

Katanya status quo kerusi yang ditandingi sebelum ini hendaklah dikekalkan biarpun tiada pakatan pembangkang seperti dahulu.

“Apabila pembangkang mempertahankan status quo lama kita dapat fokus untuk berdepan satu lawan satu dengan BN pada PRU14 nanti.

“Kalau ada kalangan pembangkang yang berminat untuk mengacau kerusi seperti dipertahankan sebelum ini, ia boleh memberi kemenangan lebih mudah kepada BN,” katanya di sini.

Kata beliau, biarpun PAS tidak berada dalam Pakatan Harapan, namun kalau semua pihak mengambil sikap saling menghormati antara satu sama lain ia boleh memperkukuhkan blok pembangkang.

Beliau juga berkata, PAS masih mempertahankan hubungan dengan PKR di samping memantapkan blok ketiga.

“Hubungan dengan PKR di Kelantan tetap sentiasa terjalin. Begitu juga dengan PRK di Selangor dan peringkat pusat,” ujarnya.    

Menurutnya juga PAS sedia mempertahankan kerusi yang ditandingi sebelum ini dalam misi menghadapi cabaran PRU14. - HARAKAHDAILY 1/8/2016

Share on Myspace