RM5 juta jayakan Projek Tebatan Banjir Sungai Balak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Balak di Kajang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata tender projek daripada peruntukan caruman parit itu dijangka mula diiklan pada Ogos ini, lapor SelangorKini.
 
“Kita juga giat menaiktaraf Sungai Jernih dengan kerja awalan cuci gali sungai sudah dijalankan pada Januari dan Februari lalu," katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan DNS, hari ini.

Katanya, kejadian banjir baru-baru ini disebabkan paras air Sungai Langat yang tinggi serta Projek Pembinaan Depo – MRT Kajang masih dalam pelaksanaan.

“Struktur tapak pembinaan Depo Kajang tinggi dari paras Sungai Jernih,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Wan Azizah bertanyakan cadangan menaiktaraf sungai di sekitar Kajang seperti Sungai Langat, Sungai Merbau, Sungai Balak dan Sungai Jernih yang sering melimpah akibat hujan lebat.

Zaidy berkata, Sungai Langat juga dalam proses naik taraf di bawah projek Kerajaan Persekutuan dengan kos RM1.7 juta.

“Dua sebut harga kini dalam pelaksanaan manakala tiga lagi sebut harga dalam proses penyediaan,” katanya.

Share on Myspace