Ancaman IS perlu perhatian ketat Persekutuan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ancaman militan Islamic State (IS) memerlukan penguatkuasaan dan perhatian ketat di peringkat Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan keselamatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa  dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kerajaan negeri bagaimanapun tetap mengambil langkah tertentu menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Kita memandang serius isu ini dan sebab itu usaha untuk memperkukuhkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta membanteras ajaran sesat terus ditingkatkan," katanya semasa menjawab soalan lisan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pada persidangan DNS, hari ini.

Kerajaan negeri juga, jelasnya mengeluarkan fatwa pada Februari lalu bagi mengharamkan kumpulan militan itu.

Beliau berkata, konsep jihad sebenar turut diperjelas menerusi siri khutbah Jumaat di seluruh negeri bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita juga jelaskan mengenai fatwa termasuk fatwa pengharaman kumpulan militan ini di masjid dan surau seluruh Selangor.

“Kita harap usaha ini dapat meningkatkan kesedaran seterusnya mengelak rakyat daripada kegiatan itu,” katanya dipetik SelangorKini.

Share on Myspace