Pemuda S’ngor wujudkan FB rasmi task force RUU355

HARAKAHDAILY | .

SELAMAT berkunjung ke laman rasmi Facebook Task Force RUU 355 peringkat Dewan Pemuda PAS Selangor (www.facebook.com/supportruu355).

Ia berkaitan usul persendirian Rang Udang-Undang pindaan Akta 355 bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang dalam Persidangan Parlimen pada 26 Mei 2016 baru ini.

Usul persendirian yang dikemukakan adalah untuk meminda Rang Undang-Undang Akta 355 dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah agar lebih diperkasakan lagi demi kelangsungan dan keizzahan Syariah Islam. Rakyat dalam negara kita sudah sedia maklum bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah diperuntukan untuk umat Islam sahaja.

RUU 355 sekarang ini digunapakai hanya memperuntukan hukuman yang boleh dijatuhkan di Mahkamah Syariah tidak melebihi 3 tahun penjara, denda RM 5000 dan 6 kali sebatan. Dalam erti kata yang lain peruntukan undang-undang dan hukuman yang sedia ada tidak lagi menggerunkan mereka yang melakukan kesalahan. Bahkan akta tersebut sudah lama dan kali terakhir dipinda pada tahun 1984 dahulu. Ini bererti sudah 32 tahun digunapakai tanpa ada apa-apa pindaan.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Selangor melalui Task Force RUU 355 ‪#‎supportRUU355‬ mengajak seluruh umat Islam agar berusaha untuk mendapatkan maklumat berhubung pindaan RUU Akta 355 yang akan dibentangkan nanti sekaligus mengharapkan sokongan semua.

Termasuklah dikalangan masyarakat bukan Islam. Ini kerana pemerkasaan RUU 355 ini sedikit sebanyak akan membawa kepada ruang peningkatan keamanan dan keselamatan sejagat.

Task Force RUU 355 Dewan Pemuda PAS Selangor ini akan berusaha menyalurkan sebaik mungkin informasi demi kefahaman bersama seluruh ahli masyarakat. Di samping itu, kami mengharapkan doa dan munajat semua agar usaha ini dipermudahkan Allah SWT dan mendapat sokongan padu dari seluruh rakyat Malaysia.

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
28 Syawal 1437H | 2 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 2/8/2016

Share on Myspace