Bawa motor elok-elok jangan sampai terjatuh

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

KAMPUNG GAJAH: Sesiapa yang berada di mana sahaja apabila dia dapat menjaga adab dan agamanya maka Allah SWT akan menjaganya.

Walaupun kita pergi ke negara orang kafir sekalipun ianya tidak mengubah prinsip dan agama kita, demikian pesanan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz kepada Khairul Idham Pawi ketika kunjungannya, semalam.

Menurut beliau, hati perlu dikawal walaupun berada di tempat yang dikelilingi suasana berbeza dengan agama, Allah SWT ingin menguji sejauh mana dapat mengawal hati ketika itu.

"Terima kasih diucapkan kepada keluarga kerana berjaya mendidik Idham menjadi seorang muslim yang baik serta mampu membawa mesej Islam kepada dunia.

"Apabila Idham mengelak daripada disembur dengan arak, itu sudah mencukupi menggambarkan satu mesej yang besar untuk Islam.

"Tindakan itu, berbeza kerana dalam sukan permotoran tidak dapat lari dari perempuan dan arak namun Idham berjaya menunjukkan akhlak Islam yang baik," ujar beliau.

Sambil berseloroh beliau berkata, tahun depan pendaftaran Pasti akan bertambah apabila kejayaan anak-anak dan bekas pelajar Pasti semakin menyerlah ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, semua orang turut gembira dengan kejayaan anak-anak Pasti, keluarga dam masyarakat juga akan berbangga dengan kejayaan yang dicapai.

Pesanan terakhir beliau kepada Khairul Idham agar teruskan melakar kejayaan dan hati-hati serta jaga keselamatan diri.

"Bawa motor elok-elok jangan sampai terjatuh," kata beliau di akhir pertemuan itu.

Turut serta dalam kunjungan tersebut, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin, Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamarudin dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari serta beberapa pimpinan pemuda kawasan setempat. – HARAKAHDAILY 2/8/2016

Share on Myspace