RUU 355: MP Muslim DAP perlu ketepi sentimen parti

ASLANI M | .

TUMPAT: Anggota parlimen (MP) beragama Islam perlu mengenepikan sentimen parti masing-masing berpadu menyokong Rang Undang-Undang (RUU) bagi memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini.

RUU Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah) akan dibentang bacaan kali kedua pada persidangan parlimen Oktober hadapan oleh MP Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

RUU itu hanya memerlukan sokongan majoriti mudah seramai 112 MP bagi membolehkan ia diluluskan.

Sedangkan jumlah MP beragama Islam sekarang seramai 136 orang daripada 222 anggota parlimen.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, MP dari DAP yang beragama Islam juga wajar menyokong RUU tersebut atas kapasiti mereka sebagai seorang Muslim.

“Mereka perlu menyokong atas nama seorang Islam, manakala anggota parlimen DAP lain kalau tidak mahu sokong itu terpulang kepada mereka sebab bukan beragama Islam.

“Anggota parlimen bukan Muslim tidak sokong tak apa, tetapi jangan pula hendak menghalang apa kita bawa,” katanya pada Himpunan Menyokong RUU 355 di Wakaf Bharu malam tadi.

Program itu yang bermula solat Maghrib diimamkan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob, manakala Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Mohammad mengimamkan solat hajat.

Bendahari Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat pula menyampaikan tazkirah. Ribuan penduduk tempatan memenuhi kawasan lapang di sebelah Pasar Wakaf Bharu.

Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Amanah Tok Kenali dan Ilmuan Islam Kelantan.

Pada program itu juga diadakan bacaan ikrar oleh wakil 45 badan bukan kerajaan bagi menyokong RUU 355 diketuai Azam mewakili Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan.

Dua anggota parlimen DAP yang beragama Islam iaitu Zairil Khir Johari mewakili Bukit Bendera dan Datuk Ariff Sabri (Raub).

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar turut mendakwa ada gerakan yang dilakukan bekas pemimpin PAS merancang kerjasama Umno bagi menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan ulama.

Difahamkan beberapa pertemuan diadakan pemimpin terbabit dengan Adun BN bagi mencapai tujuan tersebut. - HARAKAHDAILY 2/8/2016

Share on Myspace