LPHS mohon BNM longgar syarat pinjaman rumah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) membuat permohonan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melonggarkan syarat senarai hitam peminjam perumahan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata hal itu kerana lebih separuh daripada peminjam perumahan ditolak permohonan selepas disenarai hitam oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, ia menjadi masalah kepada sesiapa yang ingin membeli rumah, terutamanya membabitkan projek rumah mampu milik, Rumah Selangorku.

“Sekiranya dalam satu projek, 60 peratus daripada mereka memohon pinjaman ditolak, daripada 60 peratus tersebut, separuh disenaraihitamkan sebab pinjaman PTPTN.

"Dalam mesyuarat jawatan kuasa tetap, kita hendak mencadangkan supaya (senarai hitam PTPTN) jangan dimasukkan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Andalas) pada persidangan DNS yang ingin tahu adakah kerajaan negeri sudah berbincang dengan pihak Bank Negara mengenai masalah pinjaman perumahan yang tidak diluluskan.

Tambah beliau, pihaknya akan mencadangkan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai tindakan perlu dilakukan kepada pemaju ingkar membina Rumah Selangorku walaupun sudah diberi kelulusan.

Katanya, terdapat 14 projek diluluskan di bawah insentif pembinaan Rumah Selangorku merangkumi 20,008 unit kediaman di mana satu projek telah siap dibina, 11 projek masih dalam pembinaan dan dua lagi projek belum dibina.

Share on Myspace