Jho Low, kalau tiada tempat bersorok...

HARAKAHDAILY | .

Tiada tempat yang lebih selamat bagi Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang kini disebut-sebut di pelbagai negara kerana dikaitkan dengan tuduhan-tuduhan mengenai kekayaannya yang dikatakan berpunca daripada duit 1MDB selain Malaysia.

Di Malaysia, 1MDB walaupun kelihatan cacat, akan tetapi ia tidak kelihatan cela. Pelbagai agensi kerajaan menyatakan tiada duit yang hilang daripada 1MDB, dan tiada siapa yang melakukan kesalahan di dalam 1MDB. Setakat ini, isu 1MDB masih tiada kes di Malaysia meskipun ia digembar-gembur merata dunia.

Bukan itu sahaja, malah di Malaysia, mereka yang menyoal 1MDB akan disiasat, bukan sebaliknya. Mereka yang meneka siapa Malaysia Official 1 akan dipanggil. Di sini, tiada kes sivil untuk menyita harta meskipun ada duit berbilion masuk ke akaun peribadi.

Apabila Jho Low kembali ke Malaysia, yakinlah dia akan dirai. Malah akan dijemput makan bersama oleh VIP-VIP untuk membincangkan projek seterusnya.

Kini, lega Jho Low boleh bertambah. Malah dia boleh rasa lebih selamat kerana Akta Majlis Keselamatan Negara sudahpun dikuatkuasakan.

Baliklah Jho Low. Tak perlu malu-malu. Nak berjoli, berjolilah di Malaysia, sekurang-kurangnya duit yang ada itu digunakan di dalam negara. Malah, kerajaan boleh kutip GST lagi. Dan Malaysia Official 1 pun boleh terasa lega, kerana anda tidak direman di mana-mana negara.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 2/8/2016

Share on Myspace