PAS P Pinang bersiap sedia walau PRN tidak berlaku

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku pilihan raya negeri (PRN) atau sebaliknya dengan segenap kekuatan yang ada.

Menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Mohd Fauzi Yusof, walaupun pilihan raya negeri tidak berlaku kerana  DAP gagal mendapat persetujuan sekutunya PKR, namun PAS tidak memandang ringan terhadap usaha DAP dan sekutunya itu yang dilihat masih lagi berminat ke arah itu.

"Apa yang kita perhatikan daripada isu pilihan raya negeri yang berlaku ialah kegelabahan Lim Guan Eng dan pemimpin DAP yang terlebih dahulu menghebahkan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan segera sehingga membelakangkan sekutunya di dalam Pakatan Harapan," katanya kepada Harakahdaily.

Tegas beliau ketika dihubungi, sikap tidak setiakawan Lim Guan Eng dan DAP telah dialami oleh PAS sebelum ini, akhirnya kini dirasai sendiri pula oleh sekutunya, PKR.

Bagi PAS Pulau Pinang, kata beliau gerak kerja pilihan raya perlu dipertingkatkan lebih-lebih lagi komitmen ahli-ahli PAS bagi memenuhi pra-syarat kemenangan itu nanti.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu kerana rakan sekutunya PKR tidak bersetuju dengan cadangannya tersebut.

Sebelum itu, PKR menyatakan rasa belum cukup yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun keputusan itu diambil sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mereka akan tetap meneruskan perbincangan mengenainya dengan parti lain dalam Pakatan Harapan. - HARAKAHDAILY 2/8/2016

Share on Myspace