Selangor tidak sokong guna POTA, POCA tangani militan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor menafikan dakwaan menyokong penggunaan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keadilan seharusnya dicapai menerusi perbicaraan.

Memetik laporan SelangorKini, beliau berkata prinsip itu ternyata tidak terpakai dalam POTA dan POCA.

“Pendirian kerajaan negeri jelas tidak menyokong penggunaan POTA dan POCA untuk menangani militan.

“Kita tidak mahu akta sebegini digunakan secara umum untuk tujuan politik dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Terdahulu, beberapa akhbar arus perdana melaporkan kerajaan negeri menyokong POTA dan POCA dengan memetik jawapan Ahmad Yunus di DNS, semalam.

Ahmad Yunus berkata, kenyataannya yang menjawab soalan daripada beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) secara bersekali mungkin disalah tafsir media.

“Terdapat juga perkongsian di media sosial berhubung jawapan di DNS yang menyelitkan perkataan ‘sokong’ tetapi itu tidak menjadi prinsip kerajaan negeri.

“Mungkin saya terlepas pandang jawapan dihantar kepada DNS tetapi jelas saya katakan prinsip keadilan melalui perbicaraan harus ada,” jelasnya.

Share on Myspace