Cadangan Noh Omar bakal bebankan ibu bapa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menyifatkan kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang mencadangkan untuk mewajibkan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di Selangor melaksanakan kutipan dana awam dalam membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah insfrastruktur adalah tidak berasas.

Menurut Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman segala kelengkapan infrastruktur sekolah mahupun pendidikan ia menjadi tanggungjawab kerajaan sepenuhnya dan bukannya menjadi tanggungjawab ibu bapa.

Tegasnya, setiap kali bajet dibentangkan, kerajaan perlu mengutamakan infrastruktur pendidikan terlebih dahulu termasuk segala keperluan pelajar yang merupakan pelaburan dalam melahirkan generasi yang cemerlang.

Beliau juga berkata, dalam keadaan ekonomi yang semakin menekan, ibu bapa tidak sepatutnya terus dibebankan untuk menampung segala keperluan sistem pendidikan.

"Jika ini diterima pakai ia akan menimbulkan kesulitan kepada setiap keluarga untuk memikirkan tanggungjawab baru itu.

"Jika kerajaan merasakan ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik, sepatutnya sistem pendidikan negara ini diberikan secara percuma sepertimana berlaku di negara-negara maju," ujarnya kepada Harakahdaily.

Jelas beliau dengan sistem pendidikan percuma ia dapat memberi peluang kepada seluruh keluarga yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Bukan itu sahaja bahkan kata beliau, usaha itu secara tidak langsung dapat menghapuskan statistik mereka yang ketinggalan dalam dunia pendidikan.

Ikatan Selangor tidak menolak, masih ramai keluarga yang tidak  dapat menghantar anak mereka ke sekolah kerana kesempitan hidup.

Ikatan Selangor turut berpendapat, sudah sampai masanya kerajaan mencari jalan untuk menyelesaikan segala ketirisan yang berlaku dalam sistem pentadbiran yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

"Kegagalan dalam mengatasi masalah ini akan menyebabkan sistem pendidikan negara terus berada kebelakang di samping mereka yang tidak mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah terus tercicir.

"Sektor pendidikan perlu diberikan keutamaan kerana di situlah lahirnya generasi yang cemerlang dan pengetahuan serta mereka yang akan menerajui negara ini pada masa akan datang," katanya.

Katanya, tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan dalam sektor pendidikan adalah tidak wajar sama sekali, malah cadangan yang diutarakan oleh Noh Omar itu mengambarkan satu tindakan yang tidak matang serta memandang remeh terhadap sektor pendidikan negara.

Justeru, katanya, Ikatan Selangor menolak sekeras-kerasnya cadangan Noh Omar yang ingin mewajibkan PIBG mencari dana sendiri bagi menampung kos penyelenggaran sekolah. – HARAKAHDAILY 3/8/2016

Share on Myspace